HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2014

Peguam Negara digesa bertindak tegas terhadap kumpulan samseng, termasuk pemimpin UMNO

lge kanak2


 
GEORGE TOWN-Peguam Negara mesti tegas dalam menegakkan undang-undang dan bertindak terhadap samseng tanpa mengira kedudukan demi menjaminkan ketenteraman awam, harmoni kaum dan agama di Pulau Pinang, kata Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Katanya, ini berikutan jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen, 25 Mac lalu menyatakan bahawa kertas siasatan polis berkaitan peristiwa ini sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya.

Menurut beliau, jika mereka yang terbabit, termasuk pemimpin UMNO, dilepaskan tanpa tindakan, ia akan menggalak lebih banyak peristiwa yang tidak diingini dilakukan kumpulan samseng terbabit untuk menggugat keselamatan negara.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan minta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil siasatan polis terhadap peristiwa ganas yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama pada Januari 2014 dengan dua demonstrasi membabitkan pemimpim UMNO di Seberang Jaya dan Machang Bubok, pengeboman sebuah gereja dan tiga sepanduk digantung di luar tiga gereja Katolik di George Town.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid dalam jawapannya menyatakan siasatan sudah dibuat berhubung bantahan yang dianjurkan UMNO Pulau Pinang berkaitan gambar dalam Twitter milik lelaki bernama Lee Khai Loon yang memasukkan kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri.

Himpunan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli dan pemimpin UMNO, NGO,
Perkasa dan penduduk setempat itu terdapat kain rentang yang tertulis “kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi.. mau lagi kaa”.

Kertas siasatan dibuka berkaitan Seberang Jaya Repot 454/2014, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya pada 25 Februari lalu untuk nasihat dan pandangan.

Bantahan kedua yang dibuat di Machang Bubok, Bukit Mertajam terdiri daripada ahli dan pemimpin UMNO, NGO Perkida dan penduduk setempat mengenai perkara sama. Kertas siasatan berkaitan Bukit Mertajam Repot 734/2014 dibuka mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman. Kertas siasatan juga dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya pada 17 Februari lalu.

Berhubung kejadian serangan molotov cocktail terhadap The Church of the Assumption, Lebuh Farquhar Pulau Pinang, laporan polis dibuat berkait Central Repot 854/2014, disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu berlaku jam 1.30 pagi semasa pengadu seorang pengawal keselamatan penyedari terdengar bunyi kaca pecah dan berlaku nyalaan api di pintu gereja. Siasatan dibuat pihak forensik mendapati ia adalah sejenis molotov cocktail. Tidak ada saksi dan cctv yang berdekatan bagi membantu siasatan.

Setakat ini tidak ada tangkapan dan petunjuk bagi membantu siasatan. Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya pada 27 Februari lalu.

Terdapat tiga kertas siasatan dibuka berhubung pemasangan kain rentang penggunaan kalimah Allah di tiga gereja.

Ketiga-tiga kes berkenaan adalah kes sama dan kain rentang yang sama iaitu bertulis “ALLAH IS GREAT. JESUS IS THE SON OF ALLAH” dan berlatarbelakangkan wajah Jesus dan Salib.

Siasatan juga dijalankan di tempat kejadian mendapati tidak ada saksi dan petunjuk yang diperoleh kerana kejadian berlaku pada awal pagi dan tidak ada rakaman CCTV yang dapat membantu siasatan.-Roketkini.com

Tiada ulasan: