HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2014

Peguam Negara perlu tegas terhadap individu cuba rosakkan hubungan kaum, kata DAP

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


DAP menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba merosakkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan, kertas siasatan yang diserahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap insiden di Pulau Pinang perlu diambil berat peguam negara.

"Sekiranya mereka yang terlibat, termasuk pemimpin Umno, dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan dijalankan, maka ia akan menggalakkan lebih banyak peristiwa yang tidak diingini.

"Kumpulan samseng ini akan terus menggugat keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Lim selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen berkata, kertas siasatan polis berkaitan peristiwa ini dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Antara jawapan bertulis yang diberikan menteri adalah kesemua kes, termasuk demonstrasi membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Lun oleh ahli Umno menyuapkan kangkung ke dalam replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bom koktel molotov yang dibaling ke gereja, dan juga kain rentang tertulis "Allah is great, Jesus is son of Allah" yang semuanya berlaku di Pulau Pinang.

"Siasatan dibuat berhubung bantahan yang dianjurkan oleh Umno Pulau Pinang berkaitan dengan gambar dalam Twitter milik lelaki bernama Lee Khai Loon yang memasukkan kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri," kata jawapan berkenaan.

Himpunan berkenaan dihadiri lebih kurang 1,000 orang terdiri daripada ahli dan pemimpin Umno, pertubuhan bukan kerajaan, Perkasa dan penduduk setempat.

Terdapat kain rentang yang tertulis “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi... mahu lagikah”.

"Kertas siasatan dibuka berkait dengan insiden itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Bantahan kedua yang dibuat di Machang Bubok, Bukit Mertajam terdiri daripada ahli dan pemimpin Umno, NGO Pekida dan penduduk setempat membantah perkara yang sama.

Kedua-dua kertas siasatan berhubung perkata itu diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, kata Zahid.

Berhubung dengan kejadian serangan koktel molotov terhadap The Church of the Assumption, Lebuh Farquhar Pulau Pinang, disiasat di bawah Seksyen 436 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

"Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semasa pengadu, seorang pengawal keselamatan terdengar bunyi kaca pecah dan berlaku nyalaan api di pintu gereja.

Tidak ada saksi dan CCTV berdekatan bagi membantu siasatan.

"Setakat ini tidak ada tangkapan dan petunjuk bagi membantu siasatan," katanya.

"Terdapat tiga kertas siasatan dibuka berhubung dengan pemasangan kain rentang mengenai penggunaan kalimah Allah di tiga buah gereja.

"Ketiga-tiga kes berkenaan merupakan kes yang sama dan kain rentang yang sama iaitu bertulis “Allah is great, Jesus is son of Allah” dan berlatarbelakangkan wajah Jesus dan salib.

"Siasatan dijalankan di tempat kejadian mendapati tidak ada saksi dan juga petunjuk diperolehi memandangkan kejadian berlaku pada awal pagi dan tidak ada rakaman CCTV yang dapat membantu siasatan."

Siasatan terhadap semua kes itu juga selesai dan KDN sedang mendapatkan nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Tiada ulasan: