Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata dua perkara berlaku dalam tempoh itu iaitu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 25 Mac lalu menggunakan analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini bagi penyiasatan bahawa pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi iaitu kedudukan terakhir pesawat itu di tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Katanya, pada asasnya semua 239 penumpang dan anak kapal lenyap dalam kejadian itu dan tiada siapa terselamat.
Bagaimanapun, katanya, kemudiannya pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu Parlimen tengahari kelmarin bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan dan tidak akan menyerah kalah selagi masih ada harapan untuk 239 penumpang dan anak kapal terbabit.
Selain itu, katanya, bendera di agensi kerajaan, sekolah dan sektor swasta di Johor dan Perak dikibar separuh tiang sebagai menghormati penumpang dan anak kapal MH370, tetapi di Parlimen Najib menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan mengisytiharkan perkabungan di seluruh negara sehingg bukti lebih kukuh diperoleh untuk mengenalpasti bangkai pesawat MH370.
“Atas sebab itu keluarga, sanak-saudara, rakan dan kita semua mendoakan sesuatu yang terbaik untuk 239 penumpang serta anak kapal, setelah 19 hari menanti dalam sedih dan sengsara mengharapkan kata penamat mengenai bencana ini, memberi reaksi beremosi dan malah histerikal terhadap pengumuman Perdana Menteri yang mengatakan berakhir di selatan Lautan Hindi tanpa seorang pun terselamat, sedangkan pengumuman itu adalah “kata penamat tanpa penamat”, memandangkan belum ada secebis pun bangkai pesawat ditemui.
“Apakah operasi SAR Hishammuddin masih bermaksud “mencari dan menyelamat” atau ia bermaksud “mencari dan menemukan” tanpa sebarang jangkaan untuk menemukan walaupun seorang penumpang atau anak kapal yang masih hidup?,” katanya dalam kenyataan media, di Parlimen, hari ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, seperti yang disebut di Parlimen, malam Isnin lalu, sehingga hari ke-17 itu 1,00 satu persoalan timbul mengenai bencana MH370, antaranya mengapa tindakan susulan tidak diambil dengan segera sebaik saja MH370 hilang daripada radar awam dan tentera pada 8 Mac lalu.
Katanya, mengapa membuang masa selama lebih seminggu menjalankan operasi SAR di Laut Cina Selatan sedangkan maklumat radar menuding ke arah koridor utara dan selatan sehingga dunia luar menganggap pihak berkuasa Malaysia tidak telus dan berterus-terang mengenai tragedi itu.
“Semakin banyak persoalan timbul setelah Perdana Menteri mengumumkan pesawat Boeing 777 itu berkubur di selatan Lautan Hindi.
“Jawapan kepada semua persoalan, kekeliruan, dan kontroversi ini perlu dikemukakan, bukan saja kepada sanak-saudara terdekat penumpang dan anak kapal terbabit, malah kepada semua rakyat Malaysia dan warga dunia,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai MH370 mesti dibentuk segera dan diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang bagi memulihkan citra dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa kerana ia dapat memberi mesej jelas kepada warga Malaysia dan dunia bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dan sanggup membenarkan perkara sebenar yang berlaku di sekitar bencana MH370 disingkap dan didedahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan