HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mac 2014

Karpal Singh seorang negarawan, korban demi rakyat


Bj4EsEACUAAVEXJ

tankokwai2 



KUALA LUMPUR: Keputusan Karpal Singh untuk mengundurkan diri daripada jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP bukan sekadar kehilangan besar kepada parti itu, malah kepada seluruh negara Malaysia.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Tan Kok Wai (gambar) menyifatkan tokoh yang lebih dikenali sebagai ‘Harimau Jelutong’ itu adalah pejuang terkemuka keadilan rakyat, sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam kancah politik negara.

“Karpal telah buktikan beliau bukan sekadar tokoh politik, tetapi pejuang terkenal demokrasi, keadilan dan institusi kehakiman bebas di negara kita.

“Keputusannya itu adalah satu kehilangan. Beliau bukan sekadar harapan pimpinan DAP dan Pakatan Rakyat, malah majoriti rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas pengumuman Karpal berhubung keputusan itu pagi tadi, ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM4,000 di bawah Akta Hasutan 1948.

Karpal dihukum hanya kerana memberikan kenyataan berhubung rampasan kuasa BN ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Ahli Parlimen Cheras itu turut meminta Karpal menimbang semula perletakan jawatan itu, dan menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kesnya.

“Saya telah telefon beliau dan mohon untuk timbang semula. Namun, beliau nampaknya tegas dengan keputusan itu, untuk tepati peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Namun saya tetap harap beliau boleh teruskan dalam tempoh ini, dan tunggu rayuannya di mahkamah,” katanya lagi.

Dalam kenyataan ringkasnya siang tadi, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut mencadangkan Tan dilantik memangku jawatan Pengerusi Kebangsaan.

Mengulas perkara itu, Tan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat(CEC) DAP untuk membuat keputusan.

“Saya ingat lebih baik sesiapa yang jadi pemangku, diputuskan CEC. 7 April ini CEC akan ada mesyuarat, maka perkara ini boleh dibincangkan di sana nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: