Suruh Kerajaan Mohon Maaf Khalid Cetek Pandangan


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen  Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin hari ini menyelar tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang mendesak kerajaan Malaysia supaya memohon mohon maaf  kepada semua penumpang dan anak kapal MH370 atas kelewatan melancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Bung, kenyataan Khalid itu menggambarkan seorang yang cetek pandangan kerana kerajaan telah melancarkan misi SAR seawal yang mungkin dan  kerajaan terpaksa mengikut 'SOP' yang telah ditetapkan.

"Kerajaan telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk mengesan apa sahaja yang terjadi terhadap MH370.

"Seluruh dunia termasuk 26 buah negara yang membantu Malaysia, mereka juga mengalami kebuntuan jadi apakah Korea, Jepun, China dengan kecanggihan moden mereka juga tidak mampu berbuat sesuatu, adakah mereka juga lemah dan perlu memohon maaf.

"Jadi saya fikir Khalid merupakan seorang cetek pandangan, lagi pun kerajaan kita perlu bertanggungjawab dan terpaksa mengikut 'SOP' yang telah ditetapkan mengikut undang-undang yang berkaitan" katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di bangunan Parlimen hari ini.

Bung berkata sedemikian bagi mengulas kenyataan Khalid yang mendakwa walaupun sistem pertahanan negara sudah dilengkapi dengan peralatan radar yang canggih namun kegagalan operator bertindak segera menyebabkan usaha SAR semakin sukar dilakukan, dan perkara ini sangat memalukan Malaysia.

Sehubungsn itu katanya, kerajaan Malaysia perlu memohon maaf.

"Kalau negara China boleh minta maaf kerana mereka tersilap menghantar imej satelit, inikan pula Malaysia yang lambat bertindak walaupun radar sudah mengesan signal pesawat itu," kata Khalid di lobi Parlimen semalam.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Najib mengumumkan perkembangan terbaru itu selepas dimaklumkan oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.