Laporan
Sinar Harian pada 29 Mac yang memaparkan bantahan rakyat Malaysia
terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada penyokong Mursi.
KOTA BHARU - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Cakna Palestin meminta kerajaan dan rakyat negara ini bersama-sama menyatakan solidariti mengecam tindakan Kerajaan Mesir serta sistem mahkamah yang menganiaya rakyat sendiri.
Presidennya, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, dalam masa terdekat satu perhimpunan solidariti akan diadakan bagi menyatakan pendirian terhadap isu tersebut.
“Di mana letaknya kewarasan sebuah kerajaan seandainya mendakwa dan membunuh rakyatnya sendiri? Puluhan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin (IM) didakwa sebagai pencetus rusuhan rakyat diburu, ditangkap dan dipenjarakan.
“Terbaharu, mereka bertindak di luar batasan dengan menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi. Kita sifatkan tindakan itu sebagai jenayah terancang,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkara tersebut.
Wan Mohd Sharafi berkata, Cakna Palestin membantah sekeras-kerasnya keputusan Mahkamah Mesir itu kerana dianggap tragedi terbesar dalam sistem kehakiman negara tersebut.
“Tidak munasabah sama sekali untuk menjatuhkan hukuman selepas hanya dua hari perbicaraan atas keputusan yang menyebabkan kes kematian seorang anggota polis.
"Di manakah fungsi mahkamah rayuan kerana jelas perbicaraan tersebut tidak adil berdasarkan beberapa laporan yang diterima," katanya.
Beliau juga menganggap perkara tersebut sebagai satu bencana dan permulaan kepada pergerakan yang lebih besar serta sangat membimbangkan.
“Mereka yang membangkang kerajaan akan dibunuh, aktivis politik yang kebanyakannya daripada IM ditangkap malah turut dibunuh.
"Hak kemanusiaan dan perlindungan politik rakyat negara tersebut juga dinafikan sejak penggulingan Muhammed Mursi oleh pasukan keselamatan di Mesir pada Julai 2013," katanya.
Menurutnya, laporan terbaharu akhbar memberi sedikit harapan apabila adanya bantahan daripada Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.
“Adakah bantahan akan tinggal bantahan tanpa tindakan susulan atau sekadar mengeluarkan keluhan tanpa sebarang tekanan kepada kerajaan pimpinan Al-Sisi?" soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan