Berniaga guna bahasa isyarat Walaupun bisu, Mohd Nazrul dan Noorul mampu menjalani kehidupan normal untuk membesarkan anak mereka.


ALOR GAJAH - Sebuah gerai cendol dan goreng pisang di Kampung Ayer Semubok, Durian Tunggal, di sini, mempunyai kelainan tersendiri apabila setiap pelanggan perlu menulis atau menggunakan bahasa isyarat untuk memesan makanan.

Ini kerana peniaga berkenaan yang juga sepasang suami isteri, Mohd Nazrul Dollah, 34, dan Noorul Huda Abd Rahman, 33, bisu dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Biarpun mereka orang kurang upaya (OKU), namun pasangan terbabit mampu membuktikan kepada masyarakat mereka boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain bagi menyara kehidupan serta membesarkan dua anaknya Muhammad Nabil, 7, dan Nurul Ashikin, 11 tahun.

Menurut Noorul, mereka memulakan perniagaan sejak setahun lalu selepas suaminya tidak lagi mampu bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor selepas mengalami sakit belakang hampir setahun akibat terjatuh dari tangga di rumahnya ketika membetulkan lampu.

Katanya, selepas pulih, mereka mengambil keputusan menetap di Melaka dan memulakan perniagaan dengan bantuan modal daripada saudara mereka.

“Dengan bantuan sebanyak RM900, kami membeli peralatan seperti dapur dan mesin parut ais serta terus berniaga walaupun pada mulanya kurang yakin kerana perlu berdepan dengan kesukaran untuk berkomunikasi.

“Namun, semuanya berjalan lancar kerana kebanyakan penduduk sekitar sudah maklum dengan keadaan kami dan panduan hanya berdasarkan isyarat tangan,” katanya.