HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2014

MAS bawa keluarga ke Perth jika serpihan sah MH370

MH370


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) akan menerbangkan anggota keluarga penumpang serta kru penerbangan MH370 ke Perth, Australia jika ada serpihan sahih ditemui.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata MAS juga berterima kasih kepada kerajaan Australia yang mengecualikan bayaran visa bagi keluarga yang terlibat dalam tragedi itu.

"Sejak penemuan satelit menunjukkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia, kerajaan Australia memberi sokongan yang padu kepada MAS, daripada menyelaraskan usaha pencarian pesawat kepada menawarkan pengecualian bayaran visa.

"Kami amat menghargai sokongan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak penemuan awal pada 16 Mac lepas, lebih banyak objek dikesan oleh satelit dengan terbaharu oleh satelit Thailand yang mencerap imej kira-kira 300 objek bersaiz dua hingga lima meter terapung kira-kira 200 kilometer dari lokasi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi.

Sehari sebelum itu pada 23 Mac, satelit Perancis mengesan 122 objek terapung di sekitar kawasan pencarian.

Sementara itu, Ahmad Jauhari berkata MAS berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada kerajaan di seluruh dunia.

MAS juga amat menghargai sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta staf di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan yang berada di barisan hadapan dalam usaha mengesan MH370.

Pada masa sama Ahmad Jauhari meminta masyarakat agar tidak menambah kesedihan dan kedukaan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi itu dengan menyebarkan pelbagai spekulasi dan berita palsu.

"Kedukaan mereka bertambah dengan setiap hari yang berlalu dan ditokok dengan penyebaran khabar angin baharu serta laporan yang mengelirukan," katanya yang turut berterima kasih kepada media yang membuat laporan secara bertanggungjawab berhubung tragedi itu.

Menurutnya MAS akan terus menyalurkan maklumat yang boleh dikongsi dengan media memandangkan MAS kini terikat dengan batas-batas tertentu susulan siasatan bebas yang sedang dijalankan.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac, sebelum hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

Tiada ulasan: