HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2014

Air empangan S'gor terus susut, catuan diteruskan

MALAYSIAKINI


 


Hujan di kawasan Lembah Klang sejak 16 Mac lalu masih gagal meningkatkan jumlah paras air di empangan utama bagi membekalkan air mentah ke loji rawatan air sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  
Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), paras air di semua empangan negeri Selangor terus menyusut berikutan hujan yang sedikit sejak dua bulan lepas berbanding tahun sebelumnya selain peningkatan pengeluaran air terawat.
  
Tujuh empangan, termasuk yang membabitkan Sungai Selangor, kini mencatat bacaan meter 190.00 sehingga semalam berbanding 206.60 pada Januari. 
  
Jumlah simpanan air sehingga hari ini turut mencatat penurunan dengan Sungai Selangor sebanyak 37.09 peratus, Sungai Tinggi (63.25 peratus), Sungai Semenyih (72.83), Sungai Langat (50.20), Klang Gates (50.32), Tasik Subang (88.39) dan Sungai Batu (77.59).
  
Dalam pada itu, peringkat ketiga pengagihan air berjadual akan diteruskan sehingga 30 April melibatkan 722,032 rumah, iaitu kira-kira 3.6 juta orang di enam wilayah sekitar Gombak, Petaling, Klang/ Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor.
  
Menurut kenyataan itu, setiap wilayah dibahagi kepada dua zon dan setiap zon menerima bekalan air selama dua hari diikuti dua hari catuan.
  
Kerajaan negeri Selangor pula memutuskan untuk menambah jumlah pengurangan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH) lagi; menjadikan pengurangan air adalah sebanyak 1,000 JLH.
  
Hasil mesyuarat antara SPAN, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua operator bersetuju agar Pengagihan Air Berjadual Peringkat Keempat dilaksana mulai 4 April ini dan diperluas ke kawasan lain.
  
Bagaimanapun, tarikh dan kawasan terbabit akan dimaklumkan kelak.
  
Sementara itu, Peringkat Pertama Pengagihan Air Berjadual yang dilaksana pada 27 Februari lalu bagi kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan diteruskan.
  
Pengagihan air berjadual diperlukan berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan kandungan ammonia yang tinggi, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga masih diteruskan sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.  
  
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata catuan air itu kerana fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak beberapa hari lepas menyebabkan aliran air sungai kembali ke paras yang rendah di Sungai Selangor.
  
"Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama masih aktif kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat," katanya dalam kenyataan semalam.
  
Alfred berkata bagi pengguna di Wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang memperoleh bekalan air menerusi kedua-dua LRA berkenaan akan menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama.
  
Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga yang melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam, ia masih diaktifkan juga.
  
"Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd masih meneruskan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates.

"Kedua-dua pelan catuan bekalan air tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya.
  
Pihak SYABAS menasihati pengguna agar tidak mencuci kenderaan, mengisi air ke dalam kolam renang dan menyiram tanaman hiasan kecuali keadaan kritikal sahaja.- Bernama

Tiada ulasan: