GEORGETOWN - Kerajaan perlu memikirkan mekanisme sesuai untuk diplomat atau rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara agar inisiden pasangan yang dipenjara di Sweden atas tuduhan mendera anak tidak berulang.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) , Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengambil pendekatan itu agar rakyat tempatan memahami undang-undang yang diguna pakai di negara mereka pergi kerana ia berbeza dari segi budaya dan cara hidup.
"Walaupun dukacita dengan nasib yang menimpa pasangan itu, sebagai rakyat Malaysia saya turut simpati dengan mereka. Tetapi kita perlu akur dan hormat dengan undang-undang Sweden tegas dalam aspek kebajikan anak.
"Sweden merupakan negara pertama di dunia yang mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak pada 1979 yang kemudian diikuti 36 negara lain," katanya selepas merasmikan Program Jejak Menara anjuran Yadim di Universiti Sains Malaysia hari ini.
Beliau berkata dalam konteks mendidik anak-anak di Malaysia, aspek ketegasan seperti merotan dengan tidak mendatangkan kecederaan adalah perkara biasa.
"Waktu, saya kecil-kecil dulu pun, pernah dirotan. Tetapi, perkara ini dilihat sebagai aspek penderaan fizikal oleh negara seperti Sweden.
"Kita tidak boleh melakukan apa-apapun kerana perlu hormat undang-undang yang diguna pakai di negara asing," katanya.
Semalam, Azizul Raheem Awaludin, 38, dan isteri, Shalwati Nor Shal, 46, yang didakwa mendera anak mereka di Stockholm, Sweden Februari lalu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 10 dan 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna.
Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 Sek (RM33,900) dan 36,400 Sek (RM18,362) kepada empat anak mereka.
Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak mereka.
Perbuatan titu didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm antara 15 September 2010 dan 17 Disember tahun lalu.
Perbicaraan di mahkamah itu bermula pada 18 Februari dan berakhir 14 Mac lalu.
Berikutan penahanan pasangan itu, empat anak mereka diletakkan bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Kini, keempat-empat anak pasangan itu diletakkan bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan