HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2014

Kemalangan: Kebimbangan terhadap pengurusan sisa Lynas ada asas



HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kemalangan membabitkan sebuah lori yang membawa produk nadir bumi Lynas,  di Lanchang, Pahang, semalam menunjukkan kebimbangan banyak pihak terhadap pengurusan sisa kimia itu ada asasnya.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifly Mohamad Omar berkata, sejak awal PAS bersama beberapa NGO alam sekitar lain mempersoal urusan pengurusan sisanya.

"Sehingga kini belum ada sebarang kelulusan tempat simpanan sisa nadir bumi ini. Australia secara terbuka tidak mahu menerima bahan sisa ini walaupun bahan nadir bumi datang dari negara mereka.

"Australia menggunakan alasan Konvensyen PBB bahawa bahan sisa yang merbahaya tidak boleh dipindahkan ke tempat lain, ianya mesti diuruskan oleh negara yang memproses bahan tersebut," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam kejadian semalam, sebuah lori yang membawa 15 tong berisi cecair kimia, iaitu PrND Chloride kemalangan dan menyebabkan 13 daripada tong tersebut bertaburan di atas jalan persekutuan menghubungkan Kuala Lumpur-Kuantan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Abdul Aziz Salleh berkata  bahan kimian itu "tidak terlalu bahaya"  tetapi akan berasa gatal jika menyentuhnya.

Katanya lagi, cecair itu tidak boleh masuk ke dalam air dan jika ia masuk ke dalam sungai, ikan di dalamnya mungkin mati, tetapi menurutnya tidak ada sungai di situ.

Beliau berkata tempat itu dineutralkan oleh sepasukan pakar dari Lynas dan juga Pasukan Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART).

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, insiden tersebut biarpun tidak mengundang bahaya setakat ini, namun mengundang persoalan yang banyak berhubung resiko keselamatan.

"Kegagalan kita menangani masalah bahan sisa ini dan pengecualian cukai kepada Lynas selama 12 tahun amat merugikan negara kita.

"Menyimpan bahan sisa nadir bumi yang mengandungi radio aktif dan bertoksid merupakan bencana besar alam sekitar dan kesihatan serta nyawa rakyat negara ini.

"Saya pernah membuat kenyataan 'jangan jadikan kita sebagai ujikaji makmal'," kata beliau.

Tiada ulasan: