Dr Ibrahim Komoo Ibrahim berpendapat mencari MH370 lebih kompleks kerana Lautan Hindi jarang dikaji. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


PUTRAJAYA - Operasi mencari badan dan kotak hitam pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi lebih kompleks kerana kawasan itu amat jarang dikaji dari segi topografinya.

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, ini kerana, kawasan itu tidak mempunyai kepentingan ekonomi dan komersil.

"Di selatan Lautan Hindi, tidak ada kepentingan ekonomi seperti hasil minyak atau laluan kapal dagang.

"Jika ada laluan kapal dagang di situ, sudah tentu lokasi itu diketahui. Maklumat sedia ada ini adalah hasil kajian oseanografi secara meluas yang menyatakan kedalaman laut sekitar 2,000 hingga 3,000 meter. Itu hanya maklumat asas saja," katanya ketika ditemui di Program Dialog MPN bersama Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kesukaran mencari badan dan kotak hitam pesawat MAS, yang hilang 8 Mac lalu.

Ibrahim berkata, topografi laut seperti Lautan Hindi adalah sama dengan topografi di darat yang mempunyai banjaran gunung dan lurah kedalaman tinggi.

"Kita tidak boleh bayangkan apa ada di sana kerana tiada data mengenainya," katanya.

Ditanya mengenai peralatan sesuai untuk mencari kotak hitam pesawat sekiranya ia tertimbus di dasar laut Lautan Hindi, Ibrahim berkata, pencarian akan jadi lebih sukar melainkan lokasi sebenar diketahui.

Menurutnya, kapal selam dikendalikan manusia atau kapal selam robotik boleh digunakan untuk mencari kotak hitam itu di dasar laut dengan menggunakan teknologi tertentu untuk mengesannya sedalam 2,000 hingga 3,000 meter.

"Kalau lokasinya tidak diketahui, susah hendak cari sebab dalam laut gelap dan topografinya tidak rata.

Mengulas mengenai 122 objek dikesan satelit dirakam Airbus Defence and Space pada 23 Mac lalu, Ibrahim berkata, petunjuk baharu itu kemungkinan adalah badan sebuah pesawat seperti MH370 sekiranya tiada sebarang kemalangan di sekitar kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, ia tak dapat dipastikan selagi tiada bukti sahih diperoleh," katanya.