HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mac 2014

Menteri: Data pesawat patut dipancar terus

MALAYSIAKINI


 


Malaysia percaya bahawa teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh memainkan peranan lebih penting dalam industri penerbangan susulan kehilangan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang menimbulkan misteri.

Dalam konteks ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata mengesan dan mencari kotak hitam, contohnya, seharusnya menjadi perkara yang telah berlalu, terutama dengan kemunculan teknologi 'cloud computing' (pembangunan dan penggunaan teknologi komputer dengan menggunakan internet sebagai ruang untuk menyimpan segala data).

"Saya percaya bahawa data daripada pesawat termasuk daripada kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi. Kita seharusnya boleh mengambil dan menganalisis data ini tanpa perlu mengesan kotak hitam.

"Saya percaya perubahan yang mudah ini mungkin membawa hasil yang berbeza (dalam bidang penerbangan) sekarang," kata beliau dalam kenyataan dasar pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, Ahad. Kenyataan itu dihantar kepada Bernama di Dubai.

Justeru, beliau menggesa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan industri penerbangan untuk membolehkan pemantauan data penerbangan dari semasa ke semasa dan memantau apa yang berlaku di dalam kokpit.

WTDC keenam ITU, yang berlangsung hari ini sehingga 10 April, bertujuan merangka program kerja dan garis panduan bagi mendefinisikan persoalan pembangunan telekomunikasi dan menetapkan hala tuju serta panduan bagi program kerja Sektor Pembangunan Telekomunikasi (ITU-D) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ahmad Shabery juga menarik perhatian bahawa 25 negara tampil membantu Malaysia tanpa ragu-ragu, dengan petugas lelaki dan wanita meletakkan diri dengan cara yang boleh mendatangkan mudarat dalam usaha menjejaki Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS).

"Dalam operasi mencari dan menyelamat MH370, atas kemurahan hati negara-negara sahabat, membantu Malaysia dengan peralatan dan penggunaan satelit, teknologi sonar dan radar paling canggih serta sistem pemantauan.

"Mereka juga menghantar kumpulan pakar dalam pelbagai bidang daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa. Ini mendekatkan kami dengan kamu semua," kata beliau.

Ahmad Shabery juga menyampaikan simpati Malaysia kepada delegasi Republik Rakyat China dan 13 negara lain yang berkongsi kesedihan serta kepiluan kerana penumpang warga negara itu berada dalam penerbangan MH370.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Misi mencari antarabangsa digerakkan untuk menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian, di sepanjang dua koridor - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand – dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Susulan analisis data satelit yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Tiada ulasan: