HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Julai 2017

Bukan Semua Pembangkang Sokong Tun Mahathir

Fuad Shahdan

Tun Mahathir


Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Pakatan Harapan (PH) dan kemudian baru-baru ini diangkat pula menjadi Pengerusi gabungan politik pembangkang. Kedudukan dominan Tun M dalam PH sebenarnya menimbulkan pelbagai polemik dan pandangan dan tidak kurang juga kritikan terhadap penglibatan aktif bekas Perdana Menteri itu dalam pembangkang. 

Jika dulu kritikan ditujukan kepada Tun M oleh penyokong Kerajaan, kini kebanyakan kritikan datang dari penyokong pembangkang yang tidak berpuas hati dengan hal yang terjadi.

Misalnya kumpulan yang dikenali sebagai Otai Reformis 1998 yang dianggotai oleh aktivis politik tegar membantah sekeras-kerasnya penyertaan dan penglibatan dominan Tun M dalam PH.

Kumpulan berkenaan yang menghimpunkan aktivis era Reformasi 1998 dan dikenali dengan kelantangan suara mengkritik dasar dan pandangan politik Tun M menganggap beliau sebagai individu yang tidak layak bercakap soal integriti.

Otai Reformis 1998 sebenarnya penting untuk gerakan politik pembangkang kerana memiliki kekuatan perjuangan di peringkat akar umbi dan jelas gerakan seperti ini tidak mudah dipengaruhi oleh keputusan politik kerana mereka dianggotai oleh kelompok aktivis yang berprinsip.

Jelas sekali kehadiran Tun M dalam pembangkang sebenarnya bukanlah dialu-alukan sepenuhnya. Ramai melihat parti baru seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat datang secara tiba-tiba dan dilayan dengan istimewa, berbanding dengan aktivis yang telah lama berjuang untuk pembangkang.

Tun M memiliki sikap politik Machiavelli dan yang penting bagi beliau hanya matlamat walaupun dilihat secara menyeluruh hubungan beliau dengan tokoh-tokoh pembangkang sebenarnya bukanlah akrab. Tun M juga sehingga kini masih berselindung dan tidak mahu berkata benar tentang tuduhan liwat dan salah guna kuasa yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri ketika era beliau.

Pengaruh Tun M yang semakin membesar ini sebenarnya mampu menggugat keharmonian dan kestabilan parti-parti politik pembangkang kerana kemungkinan besar BERSATU akan merampas kosensus yang telah dibentuk secara halus. Alasan paling munasabah yang boleh digunakan BERSATU ialah mereka mewakili kaum Melayu dan sudah tentu mahu menguasai kerusi yang lebih banyak kerana BERSATU mahu menumpukan perhatian melawan UMNO yang sudah tentu dominan dan kukuh dalam Barisan Nasional (BN).

Malah baru-baru ini Tun M semasa ditanya tentang kesudian BERSATU membenarkan calon-calon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan logo parti berkenaan jika DAP dibatalkan pendaftarannya akibat krisis dalaman, Tun M dengan tegas menolak cadangan berkenaan dan mengganggap BERSATU ialah parti Melayu dan tidak sesuai untuk DAP menggunakan logo berkenaan.

Jelas melalui situasi itu, Tun M masih bersikap ragu-ragu dengan DAP dan pakatan yang berlangsung di dalam PH hanya pakatan sementara mahu merebut kuasa politik yang belum tentu memiliki kestabilan dan kemapanan untuk tempoh berpanjangan.


Tiada ulasan: