MADINAH: Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia musim 1438 Hijrah
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz di
sini, kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia)
pada Isnin.
Ketibaan mereka di bangunan penginapan jemaah haji di Hotel Anwar Al
Madinah Movenpick pada kira-kira 1 petang (6 petang waktu Malaysia)
disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin;
Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438H, Nurrinanuwar Shamsuddin;
dan Konsul Haji, Mohammad Saimi Mat Som.
Jemaah haji berkenaan turut disambut petugas Tabung Haji (TH) yang
telah melakukan pelbagai persiapan sejak beberapa bulan lepas di Madinah
dan Makkah.
Kumpulan jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 5.30 pagi waktu Malaysia, pada Isnin.
Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada
tahun ini, dan mereka dijadual tiba di Madinah dan Makkah secara
berperingkat bermula Isnin.
Sementara itu, Zainol Rahim mendoakan semua jemaah haji Malaysia berada
dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan
baik.
Zamzuri Ariffin, 49, dan isterinya Rohana Latih, 45, masing-masing dari
Kelantan, yang pertama kali mengerjakan ibadah haji, menyatakan syukur
kerana terpilih menjadi 'Tetamu Allah'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan