HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Julai 2017

Isu 'bin Abdullah' begitu penting bagi kumpulan 'taliban' - Zaid

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membidas pihak yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan bapanya baru-baru ini.
 
Sambil menggelar pihak berkenaan sebagai 'kumpulan Taliban', Zaid mempersoalkan mengapa anak tidak sah taraf itu tidak dibenarkan untuk didaftarkan dengan nama bapa sedangkan mereka tidak berdosa. 
 
"Malangnya kumpulan Taliban di Malaysia bagitu marah sekali dengan keputusan mahkamah sivil itu. Mereka berkata fatwa mesti diutamakan. Inilah sikap sombong yang salah.
 
"Yang perlu diutamakan ialah keadilan kepada anak dan ibubapa yang terlibat. Apakah kumpulan Taliban ini juga bersetuju dengan fatwa tersebut jika mereka sendiri merupakan anak luar nikah? Sudah tentunya tidak!
 
"Kumpulan Taliban ini hanya mahu pelaksanaan fatwa terhadap manusia kerdil. Ada fatwa mengenai kasino di Genting Highland? Ada fatwa mengenai 1MDB? Ada fatwa melarang penggunaan harta kerjaan untuk hal-hal peribadi pemimpin?
 
"Memang tak ada, soal bin Abdullah lebih penting bagi mereka," katanya dalam satu kenyataan. 
 
Beliau merujuk keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk terus membinkan anak “tidak sah taraf” dengan “bin Abdullah”, walaupun Mahkamah Rayuan berkata amalan itu bukan sahaja melanggar Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tetapi juga mengaibkan anak luar nikah.
 
Dalam penghakiman Khamis lalu , Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada tiga hakim dalam rayuan pasangan mencabar tindakan JPN tidak membinkan anak mereka dengan nama bapa, berkata jabatan itu bertindak di luar kuasanya dengan menggunakan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan kanak-kanak itu. 
 
Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan bin atau binti “Abdullah" untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan.
 
Zaid dalam pada itu menambah, fatwa yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu itu tidak dipersetujui semua negeri, memberi contoh fatwa di Perlis pada Januari 2013, yang membenarkan anak yang lahir kurang daripada 6 bulan setelah pernikahan ibu bapanya dibenarkan mengambil nama bapa.
 
"Mereka ini sebenarnya tidak layak memperjuangkan Islam kerana mereka tidak mempunyai sifat pemaaf dan belas kasihan, ciri yang membezakan Islam dengan jahiliah Taliban," katanya lagi. 


Tiada ulasan: