KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Polis Diraja
Malaysia (PDRM) melakukan pendekatan yang mewujudkan fikiran tenang
dalam masyarakat bagi membuang persepsi negatif terhadap agensi
keselamatan itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, PDRM perlu lebih mendekati masyarakat
dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui program bersifat mesra
rakyat untuk mewujudkan persepsi lebih positif.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika
menyampaikan ucapan pada 'Forum Addressing Perception on Safety and
Security' hari ini. - Foto BERNAMA
"Polis boleh garang, tegas tetapi kena senyum dan mesra dengan masyarakat.
"Macam saya, garang, lurus, tidak main-main tetapi saya senyum,"
katanya berucap pada Forum Meningkatkan Persepsi Terhadap Keselamatan
dan Penguatkuasaan, di sini.
Yang turut menjadi ahli panel adalah Naib Pengerusi Kanan, Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye; Naib Presiden
Eksekutif PEMANDU, Datuk Dr Amin Khan; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Shazalli Ramly.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti Selamat,
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Wira Ayub Yaakob dan pakar
kriminologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Rahim
Kamaluddin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata,
rakyat masih mempunyai keraguan terhadap keselamatan awam walaupun
indeks jenayah sudah menurun 47 peratus, enam tahun selepas pelancaran
Program Transformasi Kerajaan dan pengenalan Inisiatif Pengurangan
Jenayah.
Katanya, PDRM sebelum ini diiktiraf sebagai agensi keselamatan terbaik
di negara ASEAN menerusi pelbagai usaha dilakukan dalam membanteras
jenayah.
"Ini realiti tetapi persepsi masyarakat masih tidak bersetuju kerana minda kita sering melihat kepada isu negatif.
"Ketakutan dan ragu-ragu adalah satu cabaran yang sangat besar bagi
kerajaan kerana data yang diberikan itu diragukan orang awam," katanya.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya sedang melakukan pelbagai usaha menangani jenayah termasuk membantu bekas banduan.
Mengikut statistik hanya 0.6 peratus banduan di negara ini yang selesai menjalani hukuman kembali melakukan jenayah, katanya.
Ahmad Zahid berkata, ia jauh lebih rendah berbanding 65 peratus banduan
di California, Amerika Syarikat yang kembali melakukan jenayah.
Selain itu, katanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut berusaha
keras memulihkan 3,794 pesakit yang berada di pusat Pusat Pemulihan
Jagaan dan Rawatan (CCRC) di seluruh negara bagi mengelak mereka kembali
terjebak dengan najis dadah.
"Dadah, antara penyumbang kepada kejadian jenayah dengan 57.2 peratus
banduan yang berada di penjara tempatan melakukan jenayah berkaitan
dadah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan