Polis menahan 6 individu ahli Geng 24 sehari selepas mereka membaling bom petrol di IPD Kuala Muda.
KUALA LUMPUR: Polis menahan 6 individu yang terlibat dalam kejadian membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis menangkap 6 individu daripada Geng 24 tersebut sehari selepas mereka membaling bom petrol.
“Kita dah tangkap 6 orang. Dia ingat dia ‘macho’ boleh baling bom petrol pada polis. Sekejap sahaja kita dah tangkap 6 orang itu.
“Mereka nak tunjuk mereka relevan sebagai ahli Geng 24. Saya nasihatkan mereka tidak akan ke mana. Hujungnya mereka akan mendarat di lokap kami,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengerusi Perkep dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis hari ini.
Sabtu lalu, 2 lelaki bermotosikal dipercayai ahli kongsi gelap membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 3.30 jam pagi.
Tindakan dilakukan dipercayai berpunca rasa tidak puas hati terhadap penahanan ahli utama kumpulan kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Khalid menegaskan agar ahli kongsi gelap tidak mencabar pihak polis dengan melakukan kegiatan seperti itu.
“Tak payah tunjuk berani jadi ahli kongsi gelap dengan cuba baling bom petrol kepada pihak polis. Jangan cabar,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang masih terus memburu sindiket skim pajakan kereta di Seri Kembangan semalam, Khalid menasihati agar persatuan berkenaan mematuhi undang-undang dan tidak bertindak di luar batas.
“Saya nasihatkan semua termasuk PPIM supaya mematuhi undang-undang. Kalau kita tak ada kuasa untuk melakukan apa juga tindakan, kita janganlah buat,” katanya.
Khalid menambah, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta itu.
“Sepertimana yang kita umumkan siasatan telah dijalankan oleh satu ‘task force’ untuk melihat kedua-dua laporan polis dari kedua-dua pihak ataupun semua pihak, jadi biarkah kita selesaikan siasatan itu dulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan