Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Majoriti rakyat di Kelantan menerima baik keputusan DUN
Kelantan meminda Rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antaranya membolehkan hukuman sebat
dilakukan ke atas penjenayah secara terbuka di negeri itu.
Tinjauan Antarapos di Kelantan baru-baru ini mendapati, rata-rata
daripada mereka tidak menentang malah menyokong keputusan DUN Kelantan
berikutan ia selari dengan syariat dan tuntutan Islam yang sebenar.
Bagi seorang penduduk yang sudah lama menetap di negeri Cik Siti Wan
Kembang itu, Mohd Kassim Abdul Razak berkata umat Islam tidak dapat lari
daripada perundangan Islam yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.
"Saya menyokong sangat, kita memang tidak boleh lari dari undang-undang Allah, apa yang Allah perintahkan kita kena tunaikan.
"Undang-undang tu perintah Allah, jadi kena jalankan. Kalau Allah
perintah suruh ikut apa yang ada dalam Quran tu, kena jalankan dan itu
lagi baik," ujarnya.
Bagi seorang penuntut di salah sebuah kolej di Kota Bahru ini pula,
Emylia Hassan berkata pindaan akta itu diyakini mampu mendatangkan
kebaikan kepada masyarakat Islam di Kelantan.
"Ada yang setuju ada yang tak setujulah, sebab masing-masing ada pendapat masing-masing.
"Ada yang tanya adakah ayat Quran yang menyebut pasal sebatan di
khayalak ramai ni, boleh rujuk di dalam surah An-Nur, ayat kedua ada
Allah menyatakan bahawa hukuman sebatan ni boleh disaksikan oleh empat
orang saksi, lebih dari empat orang pun boleh, maksudnya hukuman ni
mendatangkan kemashlahatan dan beri pengajaran keapda orang ramai, jadi
saya setuju lah," katanya.
Pemahaman rakyat Kelantan berkenaan perkara ini juga boleh dianggap baik.
Ini kerana, mereka menganggap usaha kerajaan Kelantan dengan meminda
RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) ini sebagai
persediaan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan RUU355 yang sedang
menunggu giliran untuk dibahaskan pada sesi Parlimen yang sedang
berlangsung kini.
Bagi Syed Luqmanul Hakim Syed Mohd Irfan, hukuman sebat ini merupakan
salah satu daripada hukuman hudud yang termaktub di dalam Al-Quran.
Beliau yang juga penuntut sebuah institut penganjian tinggi (IPT) di
negeri itu mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan
PAS kerana sentiasa berusaha untuk memartabatkan hukuman yang
berlandaskan hukum Islam.
"Bagus dan tahniah kepada kerajaan Kelantan. Ini salah satu hukum-hukum
hudud, kalau berdasarkan Al-Quran pun hukum-hukum hudud, jadi ini
adalah salah satu hukum hudud sebab hudud ni dia ada banyak lagi, ada
sebat, potong tangan dan banyak lagi.
"Jadi sebat di khalayak ramai ni adalah satu daripada hukum hudud yang
boleh dilaksanakan dan sudah pun dilaksanakan sebenarnya, jadi apa
salahnya kalau kita adakan kembali hukum itu," ujarnya.
Seorang peniaga, Wan Noriah Saadah berharap isu pemilihan tempat untuk
dilaksanakan hukuman sebat akan ditangani dengan baik agar tidak timbul
polemik di kemudian hari.
"Bagus juga hukuman ni dikenakan di depan orang ramai, barulah insaf, kalau dilakukan secara tertutup orang tak tahu.
"Memang kena ada sedia tempat khas, tapi biar tempat tu tempat yang
orang boleh pergi tengok, bukan kata sana boleh, sini boleh, tak
bolehlah macam tu," ujarnya.
Persidangan DUN Kelantan 12 Julai lalu meluluskan pindaan 35 fasal dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017).
RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama
untuk menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan penggunaan
video sebagai bahan bukti semasa perbicaraan.
Cadangan pindaan undang-undang itu diusulkan oleh Exco Pembangunan
Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd
Nassuruddin Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ahli DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan