HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Julai 2017

Tinjauan: Pembaca M'kini berpendapat Dr M boleh dipercayai

MALAYSIAKINI


Sejumlah besar pembaca Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia Malaysiakini berpendapat bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dipercayai.

Bagaimanapun, reaksinya agak berbeza di kalangan pembaca bahasa Cina Malaysiakini.

Dalam tinjauan pendapat Malaysiakini yang bertajuk "Adakah anda mempercayai Mahathir", 75 peratus daripada 11,200 responden yang mengambil bahagian dalam pengundian bagi versi bahasa Melayu menyuarakan kepercayaan mereka kepada Mahathir dalam mempertahankan agenda pembaharuan Pakatan Harapan, jika ia menguasai kerajaan pusat, Manakala 69 peratus daripada 8,300 pembaca bahasa Inggeris yang mengundi, menjawab secara afirmatif.

Manakala ketidakpercayaan pembaca bahasa Cina terhadap Mahathir jelas apabila hanya 63 peratus mengundi 'ya' untuk soalan yang sama.



Sementara itu, 69 peratus responden bahasa Inggeris dan 74 peratus pembaca Bahasa Malaysia, menjawab "ya" apabila ditanya sama ada pembangkang perlu diketuai oleh Mahathir.

Sebaliknya, hanya 58 peratus daripada 2,200 pembaca bahasa Cina yang mengundi, menjawab "ya" untuk soalan yang sama.

Yang menarik, hanya 64 peratus pembaca bahasa Cina yang merasakan bahawa kepercayaan harus menjadi faktor pembangkang untuk bekerjasama dengan Mahathir.

Kebanyakan pembaca Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia berpendapat bahawa kepercayaan adalah faktor penting dengan 79 peratus pembaca bahasa Inggeris dan 81 peratus pembaca Bahasa Malaysia mengundi "ya".

Mengenai pendapat mereka sama ada Mahathir akan kembali kepada Umno jika dia berjaya menyingkirkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak dengan bantuan HARAPAN, 61 peratus responden versi bahasa Inggeris dan 60 peratus pembaca bahasa Cina menjawab "tidak". Manakala 65 peratus pembaca Bahasa Malaysia mengundi "tidak" kepada soalan itu.

Pengundian selama tujuh hari

Tinjauan pendapat itu dijalan oleh Malaysiakini selama tujuh hari sejak 20 Julai.

Minggu lepas, pemimpin HARAPAN menyuarakan kepercayaan mereka kepada Mahathir, dengan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir telah lama melintasi "garis merah".

Sementara itu, timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub pula menegaskan tentang konsistensi Mahathir sejak hari pertama pelancaran inisiatif Deklarasi Rakyat terhadap Najib.

Para penganalisa politik juga percaya tidak ada kemungkinan bagi Mahathir kembali ke Umno selagi Najib menjadi perdana menteri.

Tiada ulasan: