Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terharu Najib
menggunakan acara Invest Malaysia 2017 untuk mengumumkan beliau ialah
individu berkuasa di negara ini.
KUALA LUMPUR: Musuh utama Datuk Seri Najib Razak ialah dirinya, bukan DAP atau Pakatan Harapan (PH), kata Lim Kit Siang.
Ketua Parlimen DAP itu juga berkata, Najib dan anggota Kabinetnya memfitnah DAP serta pemimpin PH.
“Saya terharu Najib gunakan acara Invest Malaysia 2017 umumkan saya merupakan individu berkuasa di dalam negara, tetapi kenapa saya tidak tahu mengenai perkara ini.
“Saya tidak tahu saya boleh jadikan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai boneka (untuk) melakukan apa saya mahu,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Perdana menteri hari ini menyerang PH dan seorang “ahli politik pencen” dalam program yang dihadiri pelabur dari dalam dan luar negara.
Najib menyifatkan struktur rasmi pucuk pimpinan PH yang baru diumumkan minggu lalu sebagai “program kembali bekerja” untuk ahli politik lama.
Katanya, DAP sengaja tidak ditonjolkan dalam barisan pimpinan tertinggi PH kerana ia strategi memperdaya pengundi khususnya orang Melayu.
Mengulas lanjut, Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah terpegun apabila Najib dan pemimpin Umno serta BN menyifatkannya diktator kepada diktator dan pemimpin anti-Islam.
“Saya sudah tahu apa yang dikatakan Najib tidak benar. Jadi, apa yang menyebabkan Najib fikir delegasi antarabangsa dan pelabur luar negara percaya pembohongan Najib?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan