HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Julai 2017

'Kalau bukan di Parlimen, mahu bahas 1MDB di mana lagi?'

ARIF ATAN

Dr Mujahid 1MDB 2


Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kesal apabila Parlimen enggan memberi sebarang penjelasan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pertanyaannya hari ini yang bersifat umum juga tidak mendapat respons sewajarnya pada ketika seluruh dunia sudah mengetahui isu 1MDB.

"Malah, soalan saya bukan secara khusus tentang 1MDB tetapi lebih kepada minta Perdana Menteri menyatakan apakah respon kerajaan terhadap saman sivil perolehan oleh DOJ kerajaan Amerika dalam kes 1MDB.

"Kami (pembangkang) hanya tanya soalan mudah apa respon kerajaan tapi apa yang kita dapat dalam dewan yang memalukan pada pagi ini, 'satu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapatkan buah fikiran dewan.

"Nak dapat buah fikiran mana lagi? Dia (Kerajaan) kata tidak ada masalah lagi. Isu 1MDB ini misal-misal sahaja?
Dr Mujahid 1MDB
"Parlimen sendiri tiada kuasa untuk membicarakan satu perkara yang menjatuhkan reputasi negara. Kepada siapa dan di mana kami mahu bahas?" soalnya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menganggap Parlimen Malaysia sudah tidak lagi bebas untuk menyelesaikan maruah negara yang tercemar.

"Ini (Isu 1MDB) bukan soal pembangkang. Ini soal negara yang dimalukan," tegasnya yang dalam sidang dewan sebelum itu turut menggesa anggota Parlimen BN supaya bersifat terbuka.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Amanah itu berkata, pembangkang tidak akan membiarkan maruah negara berterusan diaibkan di peringkat antarabangsa.

"Kalau betul ada campur tangan asing lagilah kena bincang dalam Parlimen. Kita pun mahu jaga negara kita juga. Parlimen Malaysia memalukan dunia bukan sekadar rakyat Malaysia," tambah Mujahid lagi.

Tiada ulasan: