HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Julai 2017

Insentif Felda Duit Siapa?


INSENTIF adalah pemelayuan istilah bahasa Inggeris “incentive” yang bermaksud galakan.

RM1 bilion insentif peneroka duit siapa - duit Maybank?


Soalnya galakan apakah yang dimaksudkan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak sewaktu mengumumkan enam jenis pemberian kepada 94,956 peneroka Felda yang setia pada 23 Julai lalu?


Baguslah peneroka Felda mendapat durian runtuh. Tetapi siapa yang membiayainya? Silap-silap peneroka sendiri yang berhutang untuk membiayai insentif itu.

Ini adalah kerana kedudukan kewangan Felda, khususnya dan kerajaan pusat amnya, lemah longlai. Maka adalah mustahil insentif itu diberikan sebagai bonus atau habuan tetapi lebih berupa pinjaman yang secara tersirat atau tersurat terpaksa dibayar balik oleh penerima.

Pengerusi baru Felda, (Tan Sri) Shahrir Abdul Samad sendiri mengaku kepada media massa bahawa Felda mengalami kekurangan belanjawan sebanyak RM1 bilion sejak tahun 2015. Maksudnya pendapatan Felda kurang RM1 bilion daripada perbelanjaan.

Kata Shahrir, matlamat beliau adalah mengurangkan defisit tersebut. Tapi dengan Felda terus berhutang, defisit itu bukan sahaja tidak akan berkurangan sebaliknya meningkat. 

Jadi dalam keadaan di mana kerajaan dan Felda tidak ada duit untuk diboroskan, jelaslah bahawa insentif yang dijanjikan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk tujuan politik kepartian, iaitu menyogok peneroka dan ahli keluarga mereka agar menyokong Umno/BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sogokan ini adalah pengakuan mutakhir Najib dan konco-konco beliau bahawa Umno/BN bukan lagi pilihan eksklusif di rancangan-rancangan Felda, khususnya dan di kawasan luar bandar, amnya.

Secara terang-terangan Najib memberi gambaran bahawa ini adalah pemberian bersyarat apabila beliau berkata 20,000 peneroka bebas yang tidak termasuk dalam senarai penerima boleh dipertimbangkan dengan syarat kembali ke pangkuan Felda, iaitu kembali setia kepada Umno/BN. 

Umno/BN Parti Eksklusif

Baguslah kalau peneroka Felda dan orang luar bandar sudah membuka mata kepada realiti bahawa Umno/BN bukan lagi parti terangkum untuk semua, tetapi sudah berubah menjadi parti eksklusif untuk kroni dan anak bini.

Umno/BN bukan lagi parti yang membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat jelata, tetapi parti yang membebankan mereka dengan GST, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, pemotongan biasiswa, penghapusan pinjaman pengajian tinggi dan pengurangan kemudahan rawatan di hospital-hospital kerajaan.

Umno/BN adalah parti yang mencipta 1MDB bagi memperkayakan Jho Low, Riza Abdul Aziz, Tim Leissner dan gerombolan mereka dan membebankan rakyat jelata serta negara dengan hutang paling besar dalam sejarah.

Riza (kiri), Jho Low (kanan): serigala yang baham 1MDB


Kita yang faham keadaan sebenar ekonomi negara dan bebannya kepada rakyat jelata tidak akan menyalahkan peneroka dan sesiapa saja yang teruja dan berasa amat gembira dengan sogokan yang dilabelkan sebagai insentif, bonus dan bantuan itu.

Pokok pangkalnya itu lah yang akan terjadi apabila kerajaan Umno/BN menggagalkan ekonomi negara dan memiskinkan rakyat jelata. Rakyat jelata yang dulu senang, selesa dan berkeyakinan hari ini menjadi pengemis yang mengharapkan sedekah dan bantuan.

Soalnya, adakah cukup dan memadai bantuan bermusim ini atau kita berusaha memulihkan ekonomi kita dan ekonomi negara kita agar menjadi lestari semula?

Kalau pilihan kita adalah yang kedua, maka kita perlu menolak kerajaan kleptokrat Unmo/BN yang mencuri harta rakyat jelata.

Felda tidak ada duit tetapi Felda tidak muflis kerana ia dijamin oleh kerajaan. Tetapi sekarang bukan sahaja Felda mengalami defisit (kekurangan) yang besar, kerajaan pusat pimpinan Umno/BN pun kekurangan wang akibat pengurusan fiskal dan monetari yang hambar. Sebab itulah potong sana potong sini, cukai sana cukai sini, hutang sana hutang sini, jual itu dan jual ini.

Insentif Duit Hutang

Jadi dari mana datang peruntukan “durian runtuh” untuk peneroka dan rakyat miskin ini kalau tidak daripada hutang dan perahan hasil daripada syarikat serta tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC)?

Inilah yang saya tulis dan sebut berulang kali sebagai punca kebimbangan yang amat sangat bahawa kerajaan kleptokrasi yang ketandusan wang ini akan berhutang lagi dan memerah duit GLC/GLIC.

Tanpa hutang baru pun, hutang kerajaan pusat sudah melambung kepada RM833.75 bilion pada tahun 2015, iaitu paras paling tinggi dalam sejarah negara.

Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib adalah “bapa hutang negara”. Di bawah kelolaannya, hutang kerajaan naik kepada RM376.39 bilion pada tahun 2009 berbanding RM317.44 bilion yang ditinggalkan oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan RM188.79 bilion oleh Tun Dr Mahathir.

Najib Bapa Hutang Negara. Hutang terbanyak dalam sejarah.


Sebab itulah saya sangat-sangat bimbang syarikat-syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), khususnya Maybank, akan dijadikan sasaran kerana mereka masih mempunyai rizab yang banyak. Kita akan perhatikan tindak-tanduk pengurusan baru PNB yang dipengerusikan oleh bekas menteri kabinet Najib, (Tan Sri) Abdul Wahid Omar. Saya sangat-sangat bimbang PNB dalam keadaan bahaya!

Saya rasa Najib tidak berani lagi menjadikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (pencen pekerja swasta) sebagai harta karun setelah meminjam RM25 bilion untuk syarikat misteri Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Apatah lagi meminjam daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (pencen kakitangan awam) setelah mengaut RM4.4 bilion untuk sebuah lagi syarikat misteri bernama SRC International Sdn Bhd.

Begitu juga daripada Tabung Haji yang telah diperah untuk membiayai kegiatan 1MDB dan menyokong terbitan awam permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012.

Jadi yang mungkin menjadi sasaran adalah syarikat-syarikat PNB dan GLIC milik Khazanah Nasional Berhad.

Inilah yang ditakuti dan wajib diawasi dengan serapi-rapinya kerana kerajaan kleptokrasi yang mencuri ini mungkin terus menggali sumber GLC dan GLIC bagi menampung perbendaharaan yang semakin kering.Wallahuaklam.


Tiada ulasan: