Beberapa hari kebelakangan dunia
dikejutkan dengan serangan peluru berpandu yang dikatakan disasarkan ke
tanah suci Mekkah. Kenyataan gabungan negara-negara Arab lantas menuding
jari ke arah pemberontak Houthi di Yaman sebagai pihak yang
bertanggungjawab melancar serangan itu.
Mengikut agensi berita Saudi (Saudi
Press Agency) yang memetik kenyataan gabungan negara-negara Arab, peluru
berpandu berkenaan dapat dipintas kira-kira 43 batu dari bandar Mekkah.
Kenyataan itu tidak pula menyebut sama
ada Kaabah sebagai sasaran serangan atau sekadar Mekkah. Apa pun
sekarang ini puluhan ribu masyarakat Islam seluruh dunia sedang
menunaikan ibadat Umrah di Mekkah.
Inilah yang menyebabkan kenyataan
gabungan negara-negara Arab itu dilihat sebagai aneh dan kurang
meyakinkan masyarakat yang berfikir. Di manakah kewajarannya kumpulan
Islam Houthi yang berfahaman Syiah benar-benar melakukan serangan itu,
sedangkan jemaah dari Iran juga sedang berada di Mekkah untuk menjalani
ibadat Umrah dan Haji yang akan menjelang.
Seorang penganalisis politik antarabangsa, Karine Gevorgvan juga menyatakan keraguannya dalam hal ini.
Ini bukan kali pertama wilayah Arab
Saudi cuba diserang. Mei lalu pertahanan udaranya menembak jatuh peluru
berpandu beberapa ratus kilometer dari Riyadh. Houthi juga
dipersalahkan.
Kedua-dua serangan itu dijangkakan ada
kaitan dengan penggempuran pesawat-pesawat udara Arab Saudi di Yaman
sejak dua tahun lalu. Tentera Udara Arab Saudi terbabit secara langsung
bersama Majlis Kerjasama Teluk dalam kempen udara ke atas puak Houhti
yang menyebabkan 10 ribu masyarakat awam kehilangan nyawa. Ini menurut
para pegawai kemanusiaan PBB.
Karine Gevorgyan dalam wawancara dengan
radio Sputnik berkata, tidak mungkin Houthi yang melancar serangan itu
kerana ia tidak bermakna bagi mereka berbuat demikian, “Inilah yang saya
katakan kenyataan Arab Saudi itu aneh. Serangan mungkin dari pihak yang
kecewa atau yang mahu mengganggu perjalanan ibadah Haji yang akan
datang tidak lama lagi. Tetapi bagi Houthi, tidak mungkin mereka sengaja
mencari musuh dengan masyarakat Islam seluruh dunia yang datang ke
Mekkah untuk mengerjakan haji dan umrah,” kata penganalisis itu.
Menjelaskan lagi keraguannya tentang
penglibatan Houthi dalam serangan itu, Gevorgyan berkata, melihat pada
situasinya, Houthi hanyalah kumpulan-kumpulan kecil yang berjuang
menentang tentera gabungan pimpinan Arab Saudi yang jauh lebih besar,
tidak mungkin bagi mereka berani mencabar tentera Arab Saudi yang
disokong Mesir, Jordan, Sudan, Bahrain, dan Emiriyah Arab Bersatu.
Mereka juga tidak mempunyai insentif
untuk berbuat demikian. Menurut para penganalisis, ada kemungkinan
berita mengenai pemintasan peluru berpandu itu hanyalah sebagai amaran
kepada Iran tentang keupayaan pertahanan udara Arab Saudi menangkis
sebarang serangan dari negara Syiah itu.
Ada kemungkinan tindakan Wahabi
Arab Saudi yang akan datang menggugat keselamatan Iran kerana menyokong
perjuangan Houthi.
Tentera Amerika baru-baru ini menembak
ke arah sebuah kapal Iran di Teluk Parsi dan ini menunjukkan mereka
telah memulakan provokasi terhadap Iran. Apa yang dilakukan Amerika
untuk menambah perpecahan dan permusuhan sesama negara Islam. Mereka
mencipta Wahabi untuk membenci Syiah dan lain-lain mazhab Sunnah.
Matlamat Amerika supaya Israel terhindar daripada bahaya Islam.
Kenyataan mengenai serangan
Houthi ke atas Mekkah juga boleh dianggap satu taktik untuk menutup
kedajalan Yahudi menzalimi masyarakat Palestin di Baitulmaqdis,
khususnya, masjid Al-Aqsa. Taktik seperti ini sering digunakan
banyak negara termasuk Amerika untuk mengalih pandangan dunia daripada
satu peristiwa yang boleh menimbulkan kebencian dunia terhadap mereka.
Kenapa Arab Saudi memusuhi Houthi dan siapakah Houthi?
Kemelut Yaman bermula pada 1994 apabila
puak Houthi di utara Yaman tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana
terlalu memberi muka kepada golongan Wahabi yang diasaskan di Arab
Saudi. Mulai 2004 pertempuran merebak ke seluruh Yaman, apabila ulamak
Hussein Badreddin al-Houthi, pemimpin kelompok Zaidi Syiah melancar
kebangkitan menentang kerajaan, manakala kerajaan dalam usaha
memberkasnya. Sebahagian besar pertempuran berlaku dalam daerah Saadah.
Pertempuran pertama tercetus pada Jun
hingga Ogos 2004. Anggaran kematian antara 500 hingga 1,000 orang, dan
pada tahun itu juga Badr Eddin al Houthi, bapa kepada Hussein diangkat
sebagai pemimpin spiritual kumpulan pejuang al-Houthi.
Pada 18 Ogos 2014, Houthi melancar
tunjuk perasaan membantah kenaikan harga minyak. Dan pada 21 September
tahun itu, kuasa berpindah tangan apabila pemberontak Houthi berjaya
merampas kuasa dan dalam perang saudara yang berterusan itu Houthi pada
22 Januari 2015 berjaya mengusir presiden Abed Rabbo Mansour Hadi dari
istana di Sanaa selepas dikepung dan dihujani peluru meriam.
Serangan hanya berlangsung setengah jam
apabila pengawal istana membenarkan pemberontak Houthi memasuki istana.
Presiden Abed Rabbo yang tidak diapa-apakan melarikan diri ke Aden,
bandar pelabuhan di selatan Yaman sebelum menubuhkan kerajaan dalam
buangan di Arab Saudi.
Majalah Newsweek Fabruari 2015 melaporkan, Houthi
berjuang “untuk menuntut keadilan bagi rakyat Yaman dan mendesak
kerajaan yang bertanggungjawab, menghapuskan rasuah, harga petrol yang
adil, peluang pekerjaan kepada rakyat biasa Yaman dan hapuskan pengaruh
barat.
Arab Saudi dan Amerika menuduh Iran menyokong perjuangan Houthi, tetapi tanpa bukti kukuh.
Sebaliknya pada Disember 2009. The New
York Times melaporkan Amerika membekalkan senjata dan logistik kepada
kerajaan Yaman serta menyokong Al-Qaeda yang berada di sempadan Yaman
dan Arab Saudi.
Perang antara kerajaan presiden Abd Raboo Mansour Hadi
dan pergerakan Houthi yang mendapat sokongan tentera yang setia kepada
bekas Presiden Ali Abdullah Salleh tercetus pada Mac 2015. Sejurus
selepas konflik meletus jet-jet pejuang Arab Saudi serta gabungannya
terus melancar serangan ke atas kedudukan Houthi, atas permintaan Hadi.
Sejak itu Arab Saudi dan gabungan Arab
Teluknya, melancar ribuan serangan bom di Yaman, khususnya di Sanaa dan
Aden, dalam kempen memulihkan kerajaan Abed Raboo Mansour Hadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan