Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Reaksi sebahagian penyokong pembangkang yang membantah
tindakan Pakatan Harapan (PH) melantik Tun Dr Mahathir Mohamad selaku
Pengerusi gabungan tersebut, adalah lumrah dalam dunia politik, kata
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
Namun tambah beliau, penyokong pembangkang perlu memahami terlebih
dahulu tujuan penubuhan PH sebelum bertindak mengkritik keputusan
pakatan itu khususnya bersabit struktur kepimpinan sebagaimana yang baru
diumumkan dua minggu lalu.
Ujarnya juga, tawaran PH adalah jauh lebih penting daripada 'menoleh ke belakang dan bercakap tentang sejarah lampau'.
"Kalau kita bercakap tentang sejarah lampau, kita tak bergerak ke depan.
"Jadi saya takkan layan sebarang soalan berkaitan perkara lampau.
"Tumpuan sekarang adalah tawaran yang PH nak buat. Itu lebih penting," katanya kepada Antarapos.
Selasa lalu, rata-rata penyokong pembangkang yang hadir di Forum
Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah anjuran Kelab Bangsar Utama
menzahirkan bantahan dan masih berbelah bahagi terhadap keputusan PH
melantik Dr Mahathir selaku Pengerusi gabungan berkenaan.
Majoriti hadirin yang bertanya semasa sesi soal jawab, mempertikaikan
jawatan yang diberikan kepada mantan perdana menteri itu dalam gabungan
pembangkang itu.
Antaranya, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam yang
bertindak membidas Hishamuddin Rais, yang merupakan salah seorang ahli
panel yang menyokong kehadiran Dr Mahathir dalam PH.
Hadirin membangkitkan persoalan mengapa pembangkang perlu bergantung
pada bekas perdana menteri itu untuk melakukan revolusi dan perubahan.
PH pada 14 Julai lalu mengumumkan struktur parti itu yang menamakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad sebagai
Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH tidak mampu menghalang apa jua
reaksi yang muncul daripada setiap keputusan politik yang dibuat oleh
pakatan tersebut.
Namun jelasnya, keputusan melantik Dr Mahathir selaku Pengerusi
membuktikan pakatan yang dianggotai empat parti itu bersedia melakukan
perubahan terhadap pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan