KOTA BHARU: Kerajaan Pusat membelanjakan RM554 juta bagi melaksanakan lapan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPN), Datuk
Seri Mustapa Mohamed, berkata projek PPR itu dibangunkan di lapan daerah
bagi manfaat rakyat.
Menurut Mustapa terdapat lapan daerah termasuk Kota Bharu, Gua Musang,
Jeli, Tanah Merah dan Machang dengan enam projek sudah dilaksanakan
manakala dua lagi dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah, dengan peruntukan Kerajaan Pusat, PPR di Gua Musang
yang menyediakan 1,000 unit membabitkan kos RM167 juta disiapkan pada
Jun 2014.
"PPR Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab membabitkan RM188 juta menyediakan
1,000 unit dijangka siap akhir tahun ini sebelum kunci diserahkan kepada
penghuni, April tahun depan.
"PPR Kota Bharu dan Gua Musang adalah projek perumahan Kerajaan Pusat
di Kelantan yang memberi kemudahan kepada rakyat terutama golongan
berpendapatan sederhana kerana setiap unit hanya dijual pada harga
RM35,000," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di
PPR Kota Bharu, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan
Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahaya Mamat.
Mustapa berkata, Kerajaan Pusat menanggung subsidi RM150,000 bagi setiap unit rumah.
Mengenai perkembangan projek PPR Kota Bharu, satu jawatankuasa
dianggotai JPP dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi memilih pembeli,
kata beliau lagi.
Katanya, syarat utama pembeli adalah berpendapatan RM3,000 sebulan dan tidak mempunyai rumah.
"Sehingga kini, sebanyak 4,000 permohonan sudah dibuat dan proses pemilihan akan dibuat dalam masa terdekat.
"Sambutan PPR Kota Bharu memberangsangkan berikutan lokasi strategik
dan bangunan perumahan tertinggi iaitu 24 tingkat di Kelantan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan