Salahuddin Ayub mengakui 'baggage' silam yang dibawa
Dr Mahathir tetapi berkata menyisihkan bekas PM itu akan hanya
menjadikan Najib Razak 'bermaharajalela'.
PETALING JAYA: Amanah berkata kepimpinan Pakatan Harapan berlapang dada dan berjiwa besar dalam memilih Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin gabungan itu walaupun bekas perdana menteri itu mempunyai sejarah permusuhan dengan pembangkang.
“Hanya jauhari yang mengenal manikam. Ianya selari dengan peribahasa Inggeris yang berbunyi ‘only diamond can cut diamond’. Dr Mahathir adalah ‘diamond’ yang mampu menghancurkan kekebalan Umno yang telah berusia lebih 60 tahun,” kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
“Kami saling mempercayai dan dengan kekuatan inilah kami berjaya membina Pakatan Harapan. Inilah mercu tanda yang kami bina sebagai cahaya harapan bagi rakyat dan negara.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak fikir pimpinan pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang akan bersetuju Dr Mahathir menjadi perdana menteri walaupun untuk sementara, sebaliknya berkata negarawan itu diperalatkan untuk menyerang Umno.
Ismail berkata ini kerana mereka masih tidak lupa “dosa silam” Dr Mahathir terhadap mereka dan keluarga.
Salahuddin berkata PH mengambil pendirian sejajar dengan sikap Nabi Muhammad yang berjiwa besar, pemaaf dan tidak berdendam.
Beliau juga memberi contoh negarawan seperti Nelson Mandela, Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jr yang membuktikan mereka berjaya membuang sentimen kaum, warna kulit dan dendam “demi mengangkat kemulian insan”
Salahuddin yang juga naib presiden PH, berkata Mahathir adalah manusia biasa seperti ahli politik lain dan mengakui mempunyai sejarah lampau atau “baggage”, tetapi menambah Amanah bukan mahkamah “menghukum segala kesalahan dan jenayah perilaku manusia”
“Menghukum manusia sekaligus berhias diri dengan dendam kesumat, biarlah menjadi ajaran terlarang dalam Amanah, khususnya di kalangan pimpinan utamanya. Amanah sentiasa mendepakan tangan untuk menyuburkan kebersamaan demi memperjuangkan kepentingan rakyat seterusnya negara.”
“Kita bersama menentang Najib kerana kesalahan beliau lakukan sekarang kepada rakyat dan negara. Permusuhan di kalangan rakyat termasuk dengan Dr Mahathir hanya akan menjadikan Najib semakin bermaharajalela di tampuk kuasa.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan