HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Julai 2017

Samseng dan Umno berpisah tiada, kata Syed Saddiq

Ketua Pemuda PPBM itu berkata Umno sepatutnya menjawab isu dengan hujah dan bukan kekerasan.

Syed-Saddiq

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutuk kekecohan susulan tindakan sekumpulan Pemuda Umno menghalang pemimpin pemuda parti itu menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri sebuah forum bulan depan.

Syed Saddiq berkata tindakan Pemuda Umno menghalang dan menumbuk salah seorang exco Pemuda PPBM menunjukkan budaya samseng dalam Umno tidak boleh dipisahkan.

“Kita bukan nak maki hamun ke apa, cuma kita nak pastikan Najib datang program ‘Nothing To Hide 2.0’, malah tindakan mereka menghalang itu menunjukkan mereka takut berhujah.

“Budaya samseng dalam Umno berpisah tiada dan budaya samseng dalam Umno juga dah sebati. Sebab itu mereka takut nak jawab persoalan dengan hujah.

“Takut sangat berdebat sebab jawapan mereka sentiasa sahaja dengan tumbukan dan cemuhan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pemuda Pakatan Harapan di Wisma Amanah hari ini.

Syed Saddiq mencabar Umno supaya tidak hanya berani bertumbuk tapi memberanikan diri untuk berdebat.

“Jangan jawab dengan tumbukan, jawablah dengan hujah, kita jumpa di Nothing To Hide 2.0,” katanya, mengulangi desakan supaya Najib hadir di forum yang akan turut disertai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, sekumpulan ahli Pemuda PPBM hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghantar jemputan rasmi kepada Najib menghadiri forum “Nothing To Hide 2.0”, yang dianjurkan Pemuda PPBM pada 13 Ogos.

Mereka dihalang kira-kira 200 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak antara mereka.

Ketua Penerangan PPBM Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.

Tiada ulasan: