HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Julai 2017

Mampukah Pembangkang Menawan Kawasan Luar Bandar?

Fuad Shahdan

kawasan luar bandar


Barisan Nasional (BN) terkenal sebagai gabungan politik paling stabil dan bertahan lama di Malaysia. Beberapa perkara penting yang menjadi tunjang kepada kekuatan BN yang tidak dapat dinafikan sesiapa termasuklah keupayaan kepimpinan yang kukuh di samping persefahaman yang jitu dalam memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk Kerajaan secara bersama-sama. Gabungan yang menggunakan logo dacing ini memiliki struktur unik untuk muncul sebagai organisasi politik yang dikagumi.

Walaupun berteraskan kepada parti-parti berasaskan kaum, namun BN masih mampu mengekalkan kuasa dalam ruang formula ini. Namun begitu, sejak pilihan raya yang ke-12, formula yang direncanakan BN ini sedikit sebanyak telah terjejas dengan keterbukaan rakyat dalam menolak politik perkauman dan mula menerima liberalisasi politik secara lebih meluas. Hal ini termasuk kepada aspek sistem komunikasi dan penyampaian maklumat yang terbuka dan kefahaman rakyat terhadap demokrasi dan hak asasi manusia yang semakin kuat.

Namun begitu, di sebalik cabaran-cabaran ini, BN masih mampu mengekalkan kuasa walaupun semakin sukar untuk mendapat kemenangan dua pertiga seperti dahulu. Namun ini bukan bermakna pentadbiran sedia ada berada dalam keadaan lemah, namun ini lebih terkait dengan faktor keterbukaan dan globalisasi yang semakin kuat melanda. Sebelum ini jarang untuk kita mendengar pandangan BN lebih berdaya dalam menarik sokongan luar bandar berbanding bandar, namun berdasarkan kepada realiti dua pilihan raya umum terakhir keadaan itu yang berlaku, BN kekal berkuasa kerana memiliki akar yang kukuh di luar bandar.

Pakatan pembangkang yang kini didominasi oleh gabungan politik yang dikenali Pakatan Harapan, setelah beberapa kali berubah wajah dilihat agak selesa menguasai undi di kawasan bandar-bandar utama di seluruh negara. Trend ini dilihat semakin meningkat sejak pilihan raya umum ke-12 dan 13 dan dijangka pada pilihan raya umum akan datang penguasaan pembangkang di kawasan bandar akan berlarutan.

Namun begitu, agak sukar untuk pembangkang muncul sebagai sebuah Kerajaan yang berkuasa jika hanya bergantung harap kepada sokongan bandar semata-mata. Berdasarkan kepada peratusan undi popular pilihan raya umum ke-13, pakatan pembangkang mendapat 50.87 peratus undi dan BN hanya 47.38 peratus. Keadaan ini didorong atas kemenangan besar pembangkang di beberapa kawasan bandar dan lantas menambah jumlah undi berasaskan kepada populariti.

Jika statistik diambil kira memang jelas BN perlu berusaha gigih untuk memastikan kemenangan lebih besar dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana pembangkang jelas akan memberi tumpuan untuk merampas beberapa kawasan luar bandar dan jika ini terjadi satu sejarah baru bakal tercipta buat Malaysia. Namun begitu, untuk mendapatkan sokongan luar bandar keadaan ini agak sukar buat pembangkang kerana boleh dikatakan kebanyakan kawasan luar bandar lebih cenderung menilai kestabilan dan status quo yang kukuh yang ada pada BN sebagai faktor memilih nanti.

Untuk cuba merampas kawasan luar bandar, pembangkang jelas memerlukan calon yang memiliki latar belakang sebagai anak tempatan dan dikenali di kawasan terbabit. Ini penting kerana faktor calon menjadi penentu utama di kawasan luar bandar dan mereka lebih cenderung memilih individu yang lebih dikenali berbanding individu luar. Pemilihan calon yang tepat amat membantu pembangkang untuk menang di kawasan luar bandar kerana BN sudah tentu meletakkan calon yang dominan serta mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi. Tabiat pembangkang yang kadangkala gemar meletakkan calon luar di sesuatu kawasan wajar dihentikan kerana perkara ini jelas tidak dapat diterima oleh pengundi di kawasan luar bandar. Walaupun seseorang calon itu popular di peringkat nasional, namun belum tentu ia boleh menjadi calon yang digemari ramai di peringkat bawahan.

Selain itu, isu pembangunan merupakan cabaran terpenting buat pembangkang untuk membuktikan kepada masyarakat luar bandar mengenai keupayaan mereka. BN berjaya kekal sebagai parti pemerintah dan calon-calon daripada gabungan politik ini sentiasa menerima sokongan kuat pengundi kerana faktor pembangunan yang dibawakan Kerajaan. Pembangunan ini boleh disekalikan dengan faktor kestabilan dan ramai pengundi sudah biasa dengan keadaan sedia ada dan tidak mahu mengambil risiko untuk mengubah Kerajaan. Ini merupakan cabaran terbesar untuk mengambil hati pengundi luar bandar. Apakah tawaran pembangunan terbaik yang mampu ditawarkan pembangkang di sesuatu kawasan? Ini menjadi persoalan terpenting yang perlu dijawab oleh pembangkang sebelum mengorak langkah mengatur strategi menawan kawasan luar bandar.

Dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tempohari membuktikan bahawa pengundi luar bandar masih selesa dan gembira dengan BN malah majoriti undi yang diterima BN juga meningkat berkali ganda. Ini merupakan petanda kurang baik kepada pembangkang dan usaha lebih baik perlu dijalankan dan bukan satu kerja mudah untuk menumbangkan BN di kawasan luar bandar.

Selain itu, pembangkang juga wajar memikirkan strategi paling berkesan untuk memecahkan dominasi BN di beberapa kawasan yang sudah dianggap seperti ‘deposit tetap’ kepada parti pemerintah ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, status quo dan rasa selesa pada zon masa kini merupakan cabaran besar buat pembangkang untuk mengatasinya. Ini memerlukan satu tawaran paling menarik untuk mengubah pendirian dan hati pengundi, jelas sekali kawasan seperti ini sukar ditembusi namun, dengan faktor luar jangka, khasnya isu-isu setempat atau kemunculan isu nasional yang memiliki kesan terus kepada pengundi mungkin akan memberikan kelebihan kepada kelompok pembangkang.

Namun begitu, ibu segala faktor yang bakal menentukan kejayaan pembangkang ialah membentuk konsensus untuk memastikan setiap kawasan dipertandingkan secara satu lawan satu dan jika wujud persaingan lebih daripada itu maka sudah tentu kelebihan bakal menjadi milik BN. Perkara ini sudah dibuktikan di pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Diakui bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS), sudah tidak berminat untuk mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan mereka juga sudah membentuk gabungan pembangkang kuasa ketiga.

Kemunculan gabungan yang diterajui PAS ini juga wajar dibimbangi kerana parti ini memiliki kekuatan di peringkat akar umbi yang lebih baik. Jentera yang mantap seperti ini sebenarnya merupakan kelebihan buat PAS dan sudah tentu parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu menyaingi kekuatan ini bagi memastikan kubu-kubu BN di luar bandar mampu dirampas. Pembangkang jelas merindui kekuatan jentera PAS ini dan dengan ketiadaan parti berkenaan kali ini, Pakatan Harapan perlu mengharapkan kepada pembentukan jentera bawahan yang lebih baik demi menyaingi bukan sahaja BN tetapi gabungan pembangkang yang lain.

Untuk itu, cabaran terbesar kepada pembangkang kini bukan terletak kepada keupayaan untuk melawan BN, tetapi bagaimana mereka mampu melawan ego masing-masing dan bertolak ansur untuk meletakkan calon satu lawan satu demi memastikan Putrajaya menjadi milik mereka.


Tiada ulasan: