HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Julai 2017

Jangan persenda hukum Allah, tegur Exco Kelantan

Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jangan persendakan hukum Allah, itu teguran Exco Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud kepada mana-mana pihak yang mempersoalkan pindaan Akta Tatacara Jenayah Syariah II negeri Kelantan.
 
"Hukum Islam tidak boleh dipersendakan, saya nak nasihatkan tak boleh persendakan hukum Islam.
 
"Saya nasihat jangan persendakan hukum Islam ni, ini bukan produk pelancongan, ini hukuman untuk mendidik masyarakat supaya tidak lagi melakukan jenayah," katanya ketika dihubungi secara eksklusif bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan beberapa pihak sebelum ini yang mengkritik keputusan DUN Kelantan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antaranya memperuntukkan hukuman sebat dilakukan secara terbuka.
 
Sejurus selepas keputusan sebulat suara itu diumumkan, bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dengan pantas menyifatkan PAS menggunakan cara kuno terhadap pesalah syariah seperti yang dilaksanakan di Arab Saudi.
 
Zainuddin kemudiannya berkata pindaan itu akan menjadi produk pelancongan baru  Kelantan.
 
Selain Zainuddin Ahli baru DAP, Datuk Zaid Ibrahim juga memperlekehkan pindaan itu.
 
Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar kemudiannya membidas pihak yang cuba mencetuskan panik dalam kalangan rakyat berhubung pindaan akta itu.
 
Ujarnya pindaan itu membabitkan 35 fasal namun hanya isu sebat yang diperbesarkan pihak tertentu.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga menasihatkan agar pindaan itu tidak dipolemikkan kerana ia hanyalah pindaan kepada akta sedia ada.
 
 

Tiada ulasan: