Oleh Ainor Rahim
PUTRAJAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali merupakan
individu paling layak membantu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli
melunaskan bayaran ganti rugi dan kos berkaitan dengan saman fitnah
National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) terhadapnya.
Presiden Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Datuk Zulkarnain Mahdar
berkata Rafizi tidak perlu menyusahkan rakyat untuk membayar kos saman
yang berjumlah RM300,000 itu sebaliknya wajar memohon bantuan Azmin.
Ujarnya, ini kerana status kewangan Azmin yang begitu kukuh yang dapat
dilihat menerusi pemberian bonus dua setengah bulan gaji kepada penjawat
awam di Selangor sempena Aidilfitri baru-baru ini, menyaksikan menteri
besar itu sebagai penerima bonus terbesar.
"Rafizi ini dia boleh minta tolong Azmin kot... Azmin ini seperti yang
diketahui umum dia dapat elaun banyak. Dia berikan elaun untuk penjawat
awam negeri Selangor dua bulan bonus raya.
"Jadi, saya fikir Azmin lah yang paling layak dan sesuai bantu Rafizi
walaupun mereka berdua ini tak sependapat. Saya bukan nak batu apikan
mereka. Tak. Cuma itulah realitinya. Lagi pun timbalan presiden (PKR)
kena bantulah naib dia," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Semalam, Ahli Parlimen Pandan itu menerusi laman Facebooknya memohon
sumbangan orang ramai bagi mengelakkan dirinya daripada diisytihar
muflis berikutan kemungkinan tidak mampu membayar ganti rugi dan kos
berkaitan dengan saman fitnah NFC.
Ujarnya, surat tuntutan yang diterima beberapa minggu lalu menuntut
RM300,000 dibayar, selain mengancam untuk memulakan prosiding
kebankrapan terhadapnya.
Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC Datuk Seri
Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana
awam yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan