HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Julai 2017

Apakah pandangan Pak Lah dalam buku G25 diharamkan juga, soal Kit Siang


Pemimpin DAP itu berkata pengharaman buku yang memuatkan penulisan 22 tokoh itu menunjukkan perubahan sikap pentadbiran semasa.


kit-siang

PETALING JAYA: Pengharaman sebuah buku terbitan kumpulan bekas penjawat kanan Melayu G25 mencetuskan beberapa soalan, termasuk sama ada pentadbiran kini mengambil pendekatan yang berlawanan daripada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata Lim Kit Siang.

Pemimpin DAP itu berkata ini kerana penulisan Abdullah, atau Pak Lah, turut dimuatkan sebagai prakata dalam buku “Breaking the Silence – Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy”.

“Tun Abdullah berkongsi harapan G25 agar penerbitan buku ‘Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy’ akan menggalakkan perbincangan rasional tentang bagaimana Islam menjadi sumber perundangan dan dasar dalam masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia, pada masa sama menepati semangat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” kata Lim.

“Apakah prakata bekas perdana menteri Tun Abdullah dalam buku G25 itu kini dianggap prakata haram?” soalnya.

Buku itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri dalam arahan ditanda tangani menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu.

G25, diwakili jurucakapnya Datuk Noor Farida Ariffin, mengambil nama sempena 25 bekas penjawat tinggi dari kalangan Melayu termasuk ketua setiausaha kementerian, diplomat dan hakim, yang berpandangan Malaysia kini tersasar daripada prinsip asal didukung pemimpin terdahulu, di samping bimbang dengan salah guna Islam oleh pemerintah dan pentadbir awam.

Buku yang diterbitkan sebuah penerbit akademik berpangkalan di Singapura itu memuatkan penulisan 22 tokoh dan aktivis termasuk pakar undang-undang Dr Shad Saleem Faruqi dan Dr Azmi Sharom, Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar, penulis bebas Farouk Peru, peguam syariah Nizam Bashir, pensyarah pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura Dr Syed Farid Alatas dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Sheriff Kassim.

Lim mempersoalkan sama ada pengharaman buku itu satu lagi bentuk serangan pihak birokrat agama terhadap prinsip perlembagaan Malaysia.

Beliau memetik ucapan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah ketika melancarkan buku itu pada Disember 2015, di mana ahli Parlimen Gua Musang itu memberi amaran yang birokrasi agama digunakan oleh kepentingan tertentu untuk melaksanakan undang-undang Islam tanpa menghiraukan perlembagaan dan kuasa raja Melayu dalam hal ehwal Islam.

“Apakah semua penyumbang ini, khususnya tokoh masyarakat Melayu, kini dianggap musuh Malaysia, sama ada secara individu atau kolektif, yang mahu membinasakan asas kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia?” soal Lim

Tiada ulasan: