HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Mei 2020

Agihan jawatan isu peribadi, bukan perbalahan antara parti, kata ketua PPBM Johor

Mazlan Bujang berkata, isu pengagihan jawatan di beberapa 
agensi kerajaan di Johor lebih tertumpu kepada isu peribadi 
dalam kalangan pemimpin parti dan ia bukan masalah utama 
buat PPBM ketika ini.
 
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang bertindak meredakan ketegangan antara pemimpin parti itu dan Umno di negeri terbabit berhubung isu pengagihan jawatan di beberapa agensi kerajaan dengan berkata tiada perbalahan serius antara 2 parti.

Beliau mendapati sesetengah pemimpin PPBM tidak berpuas hati dengan pelantikan jawatan tertentu, tetapi katanya, perbalahan dalam kalangan pemimpin parti ialah perkara biasa dan mengingatkan pemimpin parti itu terus fokus membantu rakyat terjejas akibat Covid-19.

“Politik ini biasalah bila bercakaran sikit-sikit, itu adatlah. Tetapi, sebetulnya kita tidak ada masalah besar dengan Umno, ia masih lagi dalam kawalan. Umno dan MCA juga berebut kerusi dan jawatan, itu adatlah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, isu pengagihan jawatan itu lebih tertumpu kepada isu peribadi dalam kalangan pemimpin parti dan ia bukan masalah utama buat PPBM ketika ini.
“Sebenarnya ini lebih bersifat peribadi, bukan bersifat parti.

“Macam Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh yang sebelum ini bising bila dipecat sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), tetapi bila dilantik pengerusi Kejora, kenapa dia senyap pula?”

Mazlan berkata, sehingga hari ini, beliau belum mendapat sebarang arahan daripada Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berhubung isu itu.

“Saya percaya presiden juga tahu ia bukanlah perkara yang terlalu serius, jadi tidak perlu campur tangan, melainkan sudah tidak boleh dikawal.”

Sementara itu, seorang ahli Umno Johor yang enggan dinamakan berkata, ketegangan pemimpin Umno dan PPBM bermula apabila ada kalangan pemimpin PPBM merasakan parti itu diketepikan dalam kedudukan di peringkat negeri, walaupun sebelum ini menyerahkan kedudukan menteri besar kepada Umno.

Katanya, pelantikan bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) juga menyebabkan sesetengah pemimpin PPBM seperti Che Zakaria terasa hati.

“Tetapi hari ini, diumumkan Che Zakaria dilantik sebagai pengerusi Kejora. Ia merupakan keputusan yang penting, secara tradisinya ia jawatan yang dipegang oleh menteri besar. Saya percaya ia merupakan langkah untuk meredakan ketegangan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Che Zakaria menewaskan Khaled dalam pertembungan 4 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Permas yang terletak dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Sumber itu berkata, walaupun pemimpin Umno memegang jawatan menteri besar, namun PPBM masih mempunyai kawalan di peringkat akar umbi, seperti ketua kampung dan ahli pihak berkuasa tempatan.

“Tambahan pula di peringkat persekutuan, walaupun Umno mempunyai lebih banyak kerusi berbanding PPBM, pemimpin PPBM memegang banyak kedudukan penting.

“Dalam apa-apa juga kes, saya meragui sekiranya isu yang timbul sekarang ini akan membawa kepada pilihan raya mengejut atau undi tidak percaya di peringkat DUN.”

Katanya, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad juga mempunyai sokongan majoriti Adun dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak gemar jika timbul sebarang isu yang akan menganggu pentadbiran negeri.

Tiada ulasan: