"KREATIF betul warganet, (warna) baju saya dah jadi (hiasan) kuih-muih," kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri memaklumkan terhibur dengan gelagat warganet yang memadankan pemilihan warna baju batik dipakai beliau dengan pelbagai jenis kuih-muih dan hidangan pencuci mulut.
"Saya ingat saya jadi model batik Malaysia je. Rupa-rupanya jadi model kuih dan ice cream (aiskrim) pula.
"Terima kasih warganet kerana menghiburkan bukan sahaja saya tapi seluruh rakyat Malaysia," katanya di laman rasmi Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut mengucapkan selamat berbuka dan bertanya sama ada rakyat Malaysia berbuka puasa dengan kuih-muih tema bajunya itu.
Menerusi hantaran di Facebooknya itu, beliau turut berkongsi cantuman beberapa gambarnya memakai baju batik dengan kuih-muih yang seakan sama warnanya.
Kemunculan Ismail Sabri dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disiarkan secara langsung setiap 2 petang itu sentiasa dinantikan ramai yang ingin melihat penampilan beliau.
Baju dipakai beliau akan menjadi buah mulut warganet yang meninggalkan pelbagai reaksi di ruang komen siaran langsung sidang media harian itu.
Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Cempaka Hass Li, menyifatkan baju dipakai Ismail Sabri setiap hari ceria dan menjadi perhatian rakyat.
"Terbaik YB. Suasana jadi ceria tengok baju-baju YB setiap hari. Rakyat prihatin semua depa perhatikan," katanya.
Pendapat sama dikongsi pelayar Facebook, Anulae Mbip yang mengakui kerap melihat pelbagai baju batik yang dipakai Ismail Sabri ketika sidang media diadakan.
"Datuk pakai apa je pasti dinantikan oleh kami semua," katanya.
Ahmad Syahril Mahmudin pula turut bertanya kenapa sidang media Menteri Keselamatan itu tidak bersiaran seperti biasa hari ini.
"Datuk Seri tak buat PC (sidang media) hari ni. Boleh tambah lagi koleksi kuih n (dan) aiskrim," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan