Ketua
Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan terima kasih
kepada petugas barisan hadapan yang telah bekerja tanpa henti sehingga
Malaysia berjaya meratakan lengkungan Covid-19.
Beliau berkata
walaupun Malaysia telah berjaya sehingga ke tahap ini bagi menghindari
bencana nasional yang dilihat berlaku di banyak negara ketika ini, namun
perang melawan Covid-19 belum berakhir kerana minggu depan akan
menyaksikan negara bertempur di medan perang baru dengan strategi baru.
"Ucapan
terima kasih saya kepada semua pihak terutamanya di Kementerian
Kesihatan (KKM) yang bekerja sebagai satu pasukan ke arah tujuan bersama
untuk mengawal penyebaran Covid-19 di negara kita yang tercinta," kata
Dr Noor Hisham dalam catatan Facebooknya semalam.
Memandangkan
Malaysia sedang dalam fasa untuk memulihkan ekonomi, Dr Noor Hisham
menasihati semua pihak untuk merancang dan mengamalkan disiplin sosial
serta kepatuhan sosial terhadap prosedur operasi standard (SOP) 4 Mei
ini serta mengambil semua langkah berjaga-jaga selain menjaga kebersihan
diri.
“Ramai yang akan kembali bekerja pada 4 Mei. Minggu pertama
harus digunakan untuk menyusun strategi, merancang dan melaksanakan
perubahan baru ini.
“Majikan mesti memastikan semua pekerja
mematuhi jarak yang selamat, terutama di tempat yang tertutup. Anda
mungkin perlu menyusun semula ruang pejabat agar lebih lapang dan
selamat, mensanitasi kawasan yang selalu digunakan seperti bilik makanan
atau ruang solat serta hanya membenarkan sebilangan orang berkumpul di
satu ruang pada satu-satu masa untuk memastikan jarak sosial yang
selamat, " katanya.
Dr
Noor Hisham juga menegaskan panduan Kementerian Kesihatan adalah jelas
dan menjadi tanggungjawab majikan untuk melaksanakannya.
“Kita
mesti menyesuaikan diri dengan norma baru ini. Dunia tidak akan sama
lagi. Kita semua mesti tahu bahawa setiap tindakan individu memberi
kesan kepada bagaimana kita menguruskan Covid-19 dalam komuniti kita,”
katanya.
Beliau mengingatkan semua rakyat Malaysia untuk saling
membantu bagi memastikan insan yang disayangi terutamanya mereka yang
mudah dijangkiti, selamat.
Terdahulu, ketika taklimat media
mengenai Covid-19, beliau berkata PKP telah membantu meratakan
lengkungan Covid-19 terutama setelah pelaksanaan PKPD di 11 lokasi
berisiko tinggi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan