KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi penuh bermula 29 April ekoran wabak Covid-19, mengapa sidang Dewan Rakyat tidak boleh diteruskan selama dua minggu?
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama berkata, langkah kerajaan itu boleh dipertikaikan biarpun pelaksanaan itu tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditentukan.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut menggesa agar beberapa pindaan kepada Peraturan Mesyuarat dilakukan bagi membolehkan Parlimen terus bersidang.
“Ini termasuk secara dalam talian dan dengan jumlah Ahli Parlimen yang berkurangan tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing,” gesa majlis berkenaan.
Justeru itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa memberikan laluan kepada Dewan Rakyat untuk bersidang selama 14 hari.
Ia bagi mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi rakyat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Masalah-masalah Rakyat juga perlu perhatian khusus Parlimen, termasuk isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan Kerajaan bagi menjamin ketelusanpengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif,” kata majlis itu lagi.
Persidangan 18 Mei depan akan diadakan untuk mengelakkan tempoh enam bulan berlalu tanpa sebarang mesyuarat.
Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 9 Mac lalu tetapi ini ditunda oleh kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).
Mesyuarat terakhir adalah pada 5 Disember tahun lalu.
Semalam, Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika PKP diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan