HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mei 2020

Ras Adiba: Dah 2020... tak ada alasan lagi

Bekas penyampai berita TV, Ras Adiba Radzi, berkata masih banyak yang perlu diperjuangkannya sebagai seorang senator selepas mengangkat sumpah di Dewan Negara, 20 Mei lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ras Adiba menjelaskan tiada lagi alasan boleh mewajarkan orang kelainan upaya (OKU) tercicir berbanding anggota masyarakat lain.

Kata atlet paralimpik negara itu, antara perkara utama ingin diperjuangkannya sebagai senator ialah mengusulkan agar elaun pekerja OKU dinaikkan.

“Sekarang jumlah elaun mereka RM400, jadi saya harap ia dapat dipertingkatkan kerana tahap kehidupan di negara ni sudah tinggi.

“Dah tak ada alasan untuk berkata 'tak boleh' sebab kita sekarang dah di tahun 2020,” katanya ketika dihubungi.

Selepas mengangkat sumpah dua hari lalu, Ras Adiba akan menjadi anggota Dewan Negara selama tiga tahun dan tempoh itu boleh dilanjutkan bagi penggal kedua kemudian.

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor merupakan individu ketiga dilantik sebagai senator mewakili golongan OKU.

OKU juga banyak berbakat

Mengulas lanjut, meskipun seseorang itu dikategorikan sebagai OKU, mereka masih perlu melunaskan tanggungjawab kepada negara sebagai pembayar cukai.

Justeru, katanya, mereka ingin dipandang serius terutama apabila membabitkan hak kesamarataan.

“OKU juga membayar cukai, menjaga ekonomi negara dengan kerja-kerja dilakukan. Jadi kami perlukan hak itu dipandang serius. 

"Jangan kerana kami OKU, kami dianaktirikan di negara sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Ras Adiba - yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penyiaran selama lebih 34 tahun - menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai penghormatan kepada industri media negara.

Bercakap soal kesamarataan dalam peluang pekerjaan, Ras Adiba menyifatkan, ramai golongan OKU sebenarnya berbakat menjadi penyampai berita.

Malangnya, kata beliau, mereka selalu tidak diberikan peluang yang adil untuk bersaing dengan golongan biasa.

“Berilah tunjuk ajar seperti yang lain dan peluang untuk bekerja dengan sebaik-baiknya. Walaupun saya berkerusi roda, tapi saya masih boleh bercakap. Jangan asyik ambil mereka yang lawa-lawa saja.

“Kena adil dalam memberikan peluang pekerjaan. Ini tidak, apabila ada OKU memohon kerja, dengan segera kami dimaklumkan jawatan tersebut sudah diisi pemohon lain,” katanya sedih.

Selain meningkatkan elaun dan peluang pekerjaan sama rata untuk golongan OKU, beberapa perkara lain turut akan diusulkan Ras Adiba sepanjang beliau memegang jawatan sebagai senator.

Antaranya adalah mengenai bidang pendidikan, akta dan infrastruktur golongan OKU di negara ini.


Tiada ulasan: