KUALA LUMPUR: Kira-kira 360 gelandangan di sekitar ibu kota yang dibantu kerajaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dimasukkan ke kursus pemulihan dan motivasi di Kuantan, Pahang dan Sepang, Selangor selepas Aidilfitri.
Menteri Annuar Musa berkata, usaha Kementerian Wilayah Persekutuan ini agar gelandangan berkenaan dapat memperbaiki kehidupan dan tidak kembali lagi ke kehidupan lama mereka.
“Kalau ada yang terbabit dalam pengambilan dadah dalam sejarah hidup mereka, tetapi mereka sudah sihat dan mahu bekerja, mereka perlukan pemulihan untuk jangka masa panjang.
“Untuk itu, kita berunding dengan pusat motivasi dan pemulihan di Kuantan. Kita akan biayai kos mereka jalani kursus di situ selama 3 bulan. Seramai 60 orang akan memulakan kursus ini selepas Aidilfitri.
“Seterusnya, 300 gelandangan yang terlalu dengan cara hidup sekarang, turut akan diberikan kursus di selama 1 bulan di Sepang,” katanya semasa menyambut sambutan Aidilfitri di Pusat Gelandangan Sementara Sentul Perdananhari ini.
Annuar berkata, motivasi diberikan kepada kumpulan yang akan membuat kursus di Sepang untuk meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri sebelum memasuki alam pekerjaan kelak.
Kumpulan ini perlukan latihan kerana saya percaya ia bukan soal bagi makan dan kerja sahaja. Tetapi juga potensi manusia. Mereka ada potensi tetapi ia tidak dapat dizahirkan kerana sama ada sikap atau cara berfikir,” katanya.
Usaha kementerian turut dibantu tentera dan pakar psikologi, dalam usaha memastikan gelandangan berkenaan mendapat kaunseling dan menjalani latihan secara sistematik.
“Ia untuk membiasakan mereka dengan alam pekerjaan. Ini memakan kos RM3.4 juta kerana kita terpaksa sewa tempat, beri makanan dan peralatan kemudahan kursus kerana penyeleseaian babitkan gelandangan tidak boleh dibuat sementara,” katanya.
Selepas tamat kursus, sebahagian daripada gelandangan ini akan menjalani temu duga, manakala sebahagian besar yang lain, kalau tidak dapat tawaran pekerjaan, akan dimasukkan ke dalam satu pasukan untuk bantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Ia untuk bantu saya dan DBKL dalam program pengindahan kebersihan dan keceriaan bandar. Mereka akan diberikan kerja secara harian dan diberi gaji secara harian. Pendapatan bulanan mereka RM1,200,” katanya.
Manakala gelandangan yang uzur, tua, dan kelainan upaya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagi penagih dadah tegar pula mereka akan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen, dan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin, kita akan serahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka ini sudah tidak ada di sini lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan