HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Mei 2020

Seludup Rohingya raih RM150 juta setahun?

Wan Noor Hayati Wan Alias
WhatsApp-Image-2020-02-22-at-14
Dr Mizan Mohammad Aslam
 
KUALA LUMPUR – Usaha untuk menyekat kemasukan pelarian etnik Rohingya dilihat bukan mudah kerana aktiviti ‘perniagaan’ yang wujud di sebalik itu dipercayai meraih RM100 juta hingga RM150 juta setahun.

Berdasarkan penyelidikan dan maklumat pelbagai pihak, Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Professor Madya Dr Mizan Mohammad Aslam berkata ramai terlepas pandang kemasukan etnik Rohingya sebagai satu industri penyeludupan manusia yang amat menguntungkan pihak tertentu.

Menurut data-data yang dikumpul dari SUHAKAM, UNHCR dan Human Right Watch dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya keluar dari Myanmar antara tahun 2012 hingga 2019.

Katanya, mereka menaiki bot menghala ke selatan menuju Malaysia. Sasaran utama mereka adalah Malaysia, akan tetapi Thailand dan Indonesia juga menjadi pilihan jika terpaksa.

Malah pelayaran mereka ini seperti mengikut tiupan angin, jika angin tolak ke kanan maka tiba di Acheh, jika angin tolak ke kiri maka tiba di Thailand, begitulah sangat mudahnya dan dekat sekali perjalanan etnik Rohingya ini menuju ke Malaysia.

“Bagaimanapun sebahagian besarnya memilih Malaysia kerana lebih banyak peluang dan saudara mara mereka yang telah bertapak di sini.

“sebagaimana yang dianggarkan oleh badan-badan pemantau luar, lebih kurang 10,000 etnik Rohingya tiba di negara ini setahun, bagaimanapun dalam satu bot terdapat juga 20 peratus daripadanya warga Bangladesh dan Myanmar yang tumpang sekali dan mengakui mereka adalah etnik Rohingya.

“Hasil maklumat risikan, rombongan ini dipercayai membayar RM10,000 hingga RM15,000 kepada sindiket malah kosnya mungkin mencecah RM20,000 kerana mereka perlu melepasi beberapa sindiket seperti di Myanmar, Thailand untuk tiba ke negara ini dan setelah tiba masih ada pembayaran kepada sindiket di Malaysia.

“Mengikut maklumat, sebanyak 90 peratus pekerja sektor 3D di pasar borong Selayang adalah PATI yang mejoritinya merupakan etnik Rohingya dan Bangladesh, ini membuktikan adanya permintaan pasaran yang tinggi dari dalam pasar itu sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Dr Mizan, daripada maklumat yang diterima sindiket penyeludupan ini juga merekrut ejen di dalam kem-kem pelarian untuk membawa mereka keluar dari Myanmar.

“Jika ada yang tidak mampu, saudara atau kawan mereka yang sudah lama bertapak di Malaysia akan menghantar sejumlah wang sebagai pinjaman kepada mereka dan perlu dibayar dengan potongan gaji setelah berada di negara ini.

“Lebih menyedihkan kerana ia satu perniagaan, dipercayai wujud pembabitan tentera, penguatkuasa laut dan kedutaan di Myanmar, Bangladesh, Thailand serta penguatkuasa di negara ini yang memberi laluan kepada mereka keluar ke laut besar dan masuk ke negara ini.

“Jadi tidak hairanlah bagaimana data 200,000 telah keluar dari negara itu sebagai pelarian di Malaysia.

“Tambahan pula bersempena bulan Ramadhan, kemasukan biasanya dilakukan pada waktu hampir untuk berbuka puasa kerana ketika itu umat Islam fokus untuk berbuka,” katanya.

 MGF20032020_TINJAUAN-ROHINGYA17
Gelagat kanak-kanak bangsa Rohingya ketika tinjauan lensa 
Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, 
Selangor. foto HAZROL ZAINAL

Dalam pada itu, Dr Mizan memberitahu, lebih membimbangkan warga Bangladesh dan Myanmar yang menyertai rombongan pelarian itu turut mendakwa mereka adalah pelarian ketika membuat permohonan kepada UNHCR.

“Pihak UNHCR pula mempunyai kekangan semakan data kerana kebanyakan pemohon mendakwa dokumen status mereka musnah dalam kebakaran dan kekejaman yang dilakukan pihak junta tentera Myanmar.

“Bagaimanapun ada di antara mereka berani mengemukakan dokumen palsu seperti sijil kelahiran, sijil peperiksaan, sijil berhenti sekolah dan lain-lain yang dibekalkan oleh sindiket di Myanmar.

“Saya pernah bertanya pengalaman seorang pelarian Rohingya yang mengakui dia menaiki bot ketika tiba di negara ini tetapi pulang semula ke sana menaiki kapal terbang, bermakna ada sindiket yang mempunyai akses dengan pihak kedutaan mengeluarkan pas pelepasan Imigresen bagi perjalanan sehala untuknya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mizan mencadangkan kerajaan melakukan penegasan untuk memutuskan rantaian kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan warga asing ke negara ini.

“Ambil iktibar insiden di Wang Kelian, tiada keputusan yang berani menyebabkan kegiatan itu masih berlaku hingga ke hari ini.

“Sedar atau tidak pelarian Rohingya sebenarnya dipergunakan sindiket untuk menghalalkan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia ke atas mereka.

“Sebenarnya kerajaan Myanmar juga ada menyediakan penempatan relokasi kepada Rohingya dan juga menyediakan platform untuk pendaftaran di kem-kem yang disediakan akan tetapi mereka enggan kerana dorongan datang ke Malaysia lebih banyak.

“Boleh dikatakan hampir semua pelarian yang datang ke negara ini tidak mempunyai niat untuk pulang ke tanah air malah dikukuhkan dengan pelbagai pertubuhan untuk membela nasib mereka sudah wujud di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: