HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 September 2020

Anwar, Shafie masih pilihan Guan Eng untuk calon PM

 Predeep Nambiar

Lim Guan Eng berkata, ahli Parlimen dari parti dalam PH yakin dengan kemampuan 
salah satu calon itu untuk meraih sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi sokongannya untuk Anwar Ibrahim dan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, jika Pakatan Harapan kembali berkuasa.

Dalam satu wawancara di rumahnya di sini, beliau berkata, presiden PKR dan Warisan itu tetap menjadi pilihannya untuk jawatan tertinggi itu.

Beliau mendakwa ahli PH, termasuk ahli Parlimen daripada parti dalam gabungan itu, yakin dengan kemampuan salah satu calon itu untuk meraih sokongan bagi membentuk kerajaan.

“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada PM pertama dari Malaysia Timur.

Lim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu tampil dengan rancangan Anwar atau Shafie itu pada Julai lalu sebagai cara meleraikan kebuntuan antara bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad serta Anwar. Mereka berkata, rancangan itu boleh berjaya hanya dengan sokongan semua ahli Parlimen yang menyokong PH.

Sesetengah pemimpin PKR yang tidak bersetuju dengan rancangan itu, berkata PH perlu kekal kepada rancangan sebelum Pilihan Raya Umum pada 2018, iaitu Mahathir dan Anwar sebagai calon.

Ditanya perasaannya bekerja dengan Mahathir, Lim berkata, walaupun berpendirian tegas dalam sesuatu isu, bekas perdana menteri itu sedia mendengar pandangan ahli Kabinetnya.

“Beliau memberi peluang kepada semua orang untuk bersuara sebelum memberikan pandangannya. Kemudian Kabinet akan membuat keputusan. Sudah tentu pada kebanyakan masa, beliau akan meyakinkan ahli Kabinet untuk bersetuju dengannya.”

Lim bergambar di luar rumahnya di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang.

Lim juga ingat pendirian Mahathir terhadap hutang negara dan pemberian wang.

“Beliau mempunyai anatema peribadi yang kuat terhadap hutang dan tunggakannya. Beliau terus mendesak kami mengurangkan hutang.

“Kami berjaya mengurangkan hutang dari segi peratusan KDNK. Tetapi, dengan keadaan Covid-19 ketika ini, kita tiada pilihan kecuali menambah hutang kerana sedang menghadapi krisis ekonomi.

“Mahathir juga merasakan kita perlu menggalakkan rakyat bekerja dan tidak menyalurkan pemberian percuma kepada mereka. Bagaimanapun, kami berkata kami bukan hanya perlu mengajar rakyat cara menangkap ikan, tetapi juga memberi mereka makan supaya mereka boleh berdikari kemudian.

Katanya, Mahathir pada mulanya menola ideanya memansuhkan tol lebuh raya, tetapi kemudiannya bersetuju mengurangkannya secara beransur-ansur, bermula dengan diskaun 18% ke atas kadar tol bagi semua lebuh raya milik PLUS.

Lim, yang menjadi ahli DAP sejak 1981, kini dalam penggal ke-3 yang juga terakhir sebagai setiausaha agung parti itu.

Katanya, beliau sedia menerima sebarang peranan baru yang DAP akan berikan kepadanya.

Beliau menyifatkan DAP sebagai parti berintegriti kerana tiada seorang pun daripada 42 ahli Parlimen yang dipilih pada 2018, tidak seperti beberapa ahli Parlimen dari Umno, PKR serta parti lain, melompat parti untuk menyertai apa yang disifatkannya “kerajaan tidak dipilih” pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Katanya, malah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kagum dan memberitahunya: “Parti anda sangat stabil. Tiada seorang pun ahli Parlimen lompat parti.”

Tiada ulasan: