HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 September 2020

Bertanding Bebas, Warisan pecat Ketua Bahagian Keningau

Oleh ABDUL HADI AB. MANAP

KOTA KINABALU: Gara-gara bertanding atas tiket Bebas, Ketua Bahagian Keningau Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Jake Nointin telah dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, berdasarkan Fasal 7(3)3.4, keahlian seseorang ahli akan terhenti secara serta merta apabila seseorang itu bertanding dalam pilihan raya menentang calon parti atau tanpa kebenaran parti.

Beliau menjelaskan, Jake didapati bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan menentang calon Warisan, Rasini Koutis@Kautis.

“Warisan menegaskan bahawa mana-mana pemimpin atau ahli parti yang didapati bertanding atas tiket parti lain atau calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 adalah dengan serta merta keahlian mereka didalam parti adalah terbatal.

“Oleh yang demikian, Fasal 7 Perlembagaan Warisan secara jelas menyatakan bahawa keahlian beliau didalam Warisan adalah terbatal serta merta. Beliau bukan lagi ahli Warisan sejurus selepas pencalonan beliau telah disahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

DUN Liawan menyaksikan pertembungan sengit tujuh penjuru di antara Jake, Rasini dan lima lagi calon.

Calon-calon lain ialah Leong Chau Cu (USNO), Anuar Ayub@Banand (Perikatan Nasional), Daniel Kinsik (PBS), Yatin Kukung (Parti Liberal Demokratik) dan Mazlan Abdul Latiff (Parti Cinta Sabah).

Dalam pada itu, Loretto memaklumkan, Timbalan Ketua Bahagian Keningau, Basal Bullah telah dilantik sebagai pemangku Ketua Bahagian menggantikan Jake.

“Saya telah berbincang dengan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan kepimpinan parti telah mengamanahkan beliau sebagai pemangku Ketua Bahagian Keningau,” katanya. -UTUSAN

Tiada ulasan: