HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 September 2020

PRN Sabah: Pertembungan 11 penjuru di DUN Bengkoka

Ekhwan Haque Fazlul Haque

Abdul Ghani pada sidang media SPR. FOTO Aswadi Alias

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan pertembungan 11 penjuru bagi perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, selain itu kerusi DUN Inanam menerima 10 pencalonan.

Menurutnya, secara keseluruhan sebaik tempoh penamaan calon tamat jam 10 pagi tadi, SPR menerima 447 borang pencalonan.

Katanya, sebanyak 16 parti dan pertubuhan dan 56 calon bebas mencalonkan nama dalam PRN kali ini dengan Parti Cinta Sabah (PCS) meletakkan calon di 73 kerusi yang dipertandingkan.

"Penamaan calon dijalankan di 73 pusat penamaan calon di seluruh Sabah dan hanya satu borang ditolak kerana calonnya disahkan bankrap.

"Calon termuda berusia 22 tahun dari DUN Tandek di Kota Marudu manakala tertua berusia 75 tahun di DUN Bugaya dari Semporna.

"Proses penamaan calon hari ini juga berjalan lancar dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan Covid-19 dan semua pihak yang terbabit mematuhi arahan yang dikeluarkan," katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau berkata, SPR juga menjangkakan keputusan rasmi boleh diumumkan sebelum jam 12 tengah malam pada 26 September ini.

Katanya, SPR juga sudah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa keluar peti undi dari pusat daerah mengundi (PDM) di pedalaman ke pusat penjumlahan undi menggunakan helikopter.

"SPR sudah berbincang dengan PDRM untuk menggunakan helikopter khususnya di kawasan pedalaman dan berharap cuaca baik pada hari pengundian.

"Jumlah keseluruhan pengundi PRN Sabah seramai 1.1 juta orang dengan 75 peratus dijangka keluar mengundi berbanding hanya 69 peratus sebelum ini," katanya.

Abdul Ghani berkata, SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan dalam PRN kali ini dan SOP yang digunakan adalah sama dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini.

Katanya, calon yang bertanding juga diingatkan untuk mendapatkan permit ceramah dari PDRM dan tidak melebihi 250 orang berdasarkan saiz dewan.

Tiada ulasan: