MALAYSIAKINI
Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew berdepan saingan sembilan penjuru untuk mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, akan ditentang lapan pencabar iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Pang Yuk Min dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai.
Turut mencabar Liew ialah calon Parti Gagasan Rakyat Sabah Chong Tze Kuin, Lo Yau Foh (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan tiga calon bebas iaitu Sim Sie Hong, Ng Chun Sua dan Marcel Jude.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Api-Api Robert Lipon.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Liew, 69, memperoleh 8,174 undi dengan majoriti 2,954 menewaskan Yee Moh Chai (5,220), Lim Kat Chung dari SAPP (598), Land Lip Fong dari Anak Negeri (244) dan calon Bebas Dr Chan Chee Ching (94 undi).
Bercakap kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Wisma Wanita, Liew menzahirkan rasa terkejut apabila mengetahui beliau ditentang lapan calon lain di DUN Api-Api.
“Ya, saya terkejut… Ini menunjukkan bahawa orang ramai amat berminat untuk menjadi Yang Berhormat,” katanya.
Liew turut mengakui bahawa pertandingan di kerusi DUN Api-Api kali ini adalah satu cabaran buat beliau kerana sebilangan besar lawannya merupakan calon berpengalaman dalam pilihan raya.
“Begitu mencabar buat saya, saya akan melakukan yang terbaik, saya akan bekerja keras dan menyampaikan mesej parti (PKR) kepada para pengundi kami,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan