HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 September 2020

'PAS tak tanding di Sabah untuk elak perangkap musuh'

Malaysiakini

PRN SABAH | Selepas akur dengan keputusan untuk tidak mempertaruhkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menceritakan wujud desakan supaya parti itu diberi laluan ketika rundingan kerusi dibuat sebelum ini.

Namun, katanya keputusan untuk PAS tidak bertanding itu dilakukan bagi mengelak daripada perangkap yang dipasang oleh musuh.

"Dari segi strategi politik ini macam-macam tapi kita menerima (keputusan). Sebenarnya PAS terlibat dari awal lagi perundingan dan perbincangan (kerusi).

"Cuma apabila dibuat keputusan, walaupun PAS mendesak supaya diberi laluan tetapi ada beberapa masalah dan perkara. (Jadi) kita fikir kita (perlu) berjiwa besar, kita bersetuju dengan pandangan presiden.

"Menghadapi pilihan raya ini perlu strategi yang betul, jadi kita mengelak perangkap yang dipasang musuh. Jika kita bertanding akan timbul bertembungan sesama sendiri, natijahnya adalah kerugian kepada muafakat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

Semalam, PAS mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Sabah, bagi mengelakkan pertembungan dengan calon parti sekutunya.

Perkara itu dinyatakan presidennya Abdul Hadi Awang, berhubung ketiadaan calon daripada parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian mengakui bahawa wujudnya rasa kecewa susulan keputusan itu namun yakin perkara itu boleh diatasi.

"Kita boleh urus, insya-Allah ahli PAS ini terkenal dengan ahli yang patuh dengan keputusan parti. Sebab bagi kita untuk elak pertembungan sama-sama kita, kita berpegang keputusan parti.

"Alhamdulillah walaupun rasa kecewa di mana-mana tak boleh nafi, tapi secara keseluruhan kepimpinan PAS di Sabah dan jentera akur dengan keputusan dan kenyataan yang dibuat oleh presiden," jelasnya sambil menyatakan keyakinan PN akan memenangi PRN Sabah.

Tiada ulasan: