HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 September 2020

Kegilaan rebut kuasa terpampang di PRN Sabah

Siti Hafidah

 

Belum pun menang, parti-parti politik sudah bincang jawatan Ketua Menteri

BANGI – Kegilaan merebut kuasa jelas terpampang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila satu demi satu parti baharu diwujudkan malah jumlah yang bertanding adalah sekitar 447 calon.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya secara sinis berkata, PRN yang akan diadakan pada 26 September ini mungkin paling meriah dalam sejarah.

“Saya tidak boleh gambarkan bagaimana pengundi akan memilih nanti bila melihat terlalu ramai calon dalam kertas undi. Tak pasti, adakah ini satu perkara dalam konteks demokrasi atau hanya memeningkan rakyat.

“Tidak kiralah siapa yang akan menang nanti, sama ada Perikatan Nasional (PN) Barisan Nasional (BN) atau gabungan ‘Warisan Plus’ tetapi saya yakin jawatan Ketua Menteri adalah idaman setiap calon yang bertanding.

“Mereka akan lakukan apa sahaja demi memastikan ‘jawatan emas’ ini akan berpihak kepada kumpulan masing-masing. Apa tidaknya, dengan sumber alam yang begitu banyak dan negeri yang cukup luas sudah pasti hasilnya melimpah ruah yang boleh dikaut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai isu ‘lompat parti’ wakil rakyat di Sabah, Haji Aminuddin berkata, tindakan lompat-melompat adalah perkara biasa dalam sejarah politik Sabah dan yakin pasti habuan melompat bukanlah sedikit.

“Siapa yang tak mahu lompat kalau boleh jadi jutawan segera dengan hanya beralih sokongan dengan sekelip mata?

“Justeru, pengundi-pengundi Sabah kena betul-betul berfikir dan memilih calon yang berjiwa rakyat dan sanggup berkorban demi pembangunan negeri; bukan calon ‘dinosaur’ yang sudah ada ‘baggage’.

“Orang Sabah kena berani membuat perubahan dan memberi isyarat yang kuat kepada semua pemain politik yang bertanding bahawa anda tidak boleh lagi dipermain-mainkan seperti apa yang berlaku selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin hairan apabila parti politik mula berebut jawatan Ketua Menteri Sabah walaupun belum memenangi pilihan raya itu.

“Bak kata pepatah bunyi guruh di langit air tempayan dicurahkan. Belum pun menang PRN Sabah, parti-parti politik sudah mula bicara dan berebut jawatan Ketua Menteri.

“Pimpinan utama UMNO sendiri mengaku secara jelas yang mereka tidak selesa dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah sesuka hati tanpa berunding. Sudahlah bertembung sesama sendiri hingga 17 kerusi, kini berebut tempat Ketua Menteri pula.

“Kita tidak pasti apakah sebenarnya masalah dan perselisihan dalaman yang berlaku antara mereka kerana kita pun tahu BN tidak begitu selesa dengan kewujudan PN sebagai satu entiti gabungan politik rasmi,” katanya.

Bagaimanapun katanya lebih menyedihkan, pada masa sama salah satu parti terbesar orang Melayu terus dilupakan dan tidak diberikan kerusi walaupun satu.

Haji Aminuddin berkata, nasib baik parti itu sabar dan terus bersedia untuk membantu walaupun ada pihak yang melabelkan mereka sebagai parti tunggangan sahaja.

“Cuma persoalannya masih adakah calon pemimpin yang berjiwa rakyat dalam PRN kali ini? Satu soalan yang mengundang sejuta jawapan tanda tanya. Saya harap masih ada, dan individu itulah yang naik nanti,” katanya.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu. Sehari sebelum itu, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Tiada ulasan: