HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2020

Ketika calon-calon KM ligat berkempen, Hajiji bertahan di kubu sendiri

PRN SABAH | Persoalan mengenai siapa calon Ketua Menteri dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum terungkai walaupun kempen pilihan raya negeri Sabah hampir ke penghujungnya.

Salah seorang calon ketua menteri yang disebut-sebut adalah Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor, 65, yang menjadi anggota dewan undangan (Adun) Sulaman selama lapan penggal.

Dua calon lain adalah Presiden Warisan, Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.

Walaupun Shafie dan Bung memiliki pengaruh yang besar di kubu kuat masing-masing iaitu di Semporna dan Kinabatangan, kedua-duanya menghabiskan banyak masa untuk menjelajah seluruh Sabah.

Bagaimanapun, kempen Hajiji, berdasarkan undangan media nampaknya terbatas di daerah Tuaran.

Tuaran adalah sebuah bandar yang terletak kira-kira satu jam perjalanan ke utara Kota Kinabalu, yang mana Dun Sulaman terletak di parlimen ini.

Hajiji mula berkempen di luar Tuaran, untuk pertama kalinya pada petang Selasa lalu dengan beberapa kali berhenti untuk berkempen di Papar.

Di sebelah malam, dia kembali ke Tuaran untuk mengadakan ceramah.

Di Tuaran, Hajiji menjemput beberapa nama besar dalam kempennya, termasuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Berlainan bendera

Langkah Hajiji ini menyebabkan pemerhati politik tertanya-tanya apakah dia tidak yakin untuk mempertahankan kerusi Sulaman.

Dalam pilihan raya ini, Hajiji tidak akan menggunakan logo BN untuk pertama kalinya sepanjang kariernya di Dun Sulaman.

Sebelum menyertai Bersatu pada tahun 2019, Hajiji merupakan pengerusi BN dan Umno Sabah.

Sepanjang pilihan raya umum lalu, dia mencatat kemenangan besar di Sulaman. 

Pada pilihan raya umum 2018, Hajiji memperoleh 69 peratus undi dan menjadi calon BN dengan prestasi terbaik di negeri ini.

Walaupun lima kawasan mengundi di Sulaman kini diletakkan di bawah Dun baru iaitu Pantai Dalit, sebanyak enam daripada tujuh daerah mengundi yang masih kekal di Sulaman memilih Hajiji pada pilihan raya lalu.

Setiap kali muncul di khalayak di Tuaran, Hajiji dilihat sebagai tokoh yang cukup terkenal dan mampu menarik orang ramai ketika dia berucap.

Mesej utamanya serupa dengan Muhyiddin iaitu rakyat Sabah hanya akan mendapat manfaat sekiranya memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

Imej Muhyiddin sebagai pemimpin yang menerajui negara ketika penularan wabak Covid-19 juga menghiasi kempen PN-Bersatu di Sabah.

Gambar Hajiji sendiri jarang dilihat pada poster PN, selain di Sulaman.

Persoalan apakah Hajiji akan menjadi ketua menteri dari GRS bergantung kepada berapa banyak kerusi yang dimenangi PN dalam pilihan raya ini, namun kempennya ketika ini tidak menjurus ke arah itu.

Tiada ulasan: