KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebulan suara bersetuju mewujudkan solidariti menyokong antara satu sama lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tujuan utama mengelakkan pertembungan kerusi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu diputuskan pada Majlis Perjumpaan Pimpinan Parti Sabah bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini.
Beliau memberi jaminan masalah pertembungan kerusi akan selesai dengan wujudnya solidariti di antara semua parti yang terlibat.
“Kita cara konsensus telah setuju untuk mewujudkan solidariti di kalangan parti-parti yang dipanggil sebagai Friendly parties untuk elakkan adanya pertembungan di antara calon-calon walaupun pengumuman yang diadakan semalam terdapat pertembungan sesama sendiri dan ini akan diselesaikan segera mungkin,” katanya kepada pemberita.
Solidariti tersebut, jelas Zahid, akan dizahirkan menerusi akujanji yang akan dibuat secara rasmi pada Hari Malaysia pada 16 September ini.
“Akujanji itu dianggap sebagai tawaran baru kepada pengundi Sabah dan persetujuan bersama semua parti-parti ini akan dimuktamadkan sebelum pelancarannya dilakukan,” tambah beliau.
Antara yang hadir pada perjumpaan itu adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor .
Selain Zahid, turut kelihatan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan selain Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Barisan kepimpinan parti-parti di Sabah yang turut kelihatan adalah Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jefrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee selaku Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) termasuklah Timbalan Presiden PBRS, Arthur Kurup.
Manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir pada saat-saat akhir sebelum perjumpaan bermula. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan