Rakyat rugi pilih pemimpin tiada integriti, lompat parti demi periuk nasi
BANGI – Pengundi di Sabah perlu memilih calon yang memperjuangkan isu kedaulatan dan tidak bermain dengan sentimen anti-Semenanjung, semata-mata untuk ‘ride the wave’.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya bimbang, sentimen anti-Semenanjung yang dimainkan golongan ‘politikus’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mencetuskan sesuatu yang kurang sihat.
Sehinggakan, kata beliau, sampai ke tahap seolah-olah rakyat di Semenanjung telah menganiaya Sabah.
“Lebih malang lagi, politikus-politikus kita tidak ada rasa bersalah pun memainkan sentimen subversif sebegitu tatkala negara terutamanya negeri Sabah sedang diancam kedaulatannya.
“Dua isu terbesar iaitu pertikaian Laut China Selatan dan klaim ‘Sabah milik Filipina’ oleh kerajaan Filipina tidak pula kedengaran ketika berkempen.
“Jika benar mereka pejuang rakyat Sabah, maka inilah yang dilaungkan ketika PRN,” katanya dalam Perutusan Hari Malaysia, hari ini.
Haji Aminuddin berkata, akibat memilih pemimpin tiada integriti akhirnya rakyat rugi dengan jutaan ringgit terpaksa dibelanjakan untuk mengadakan PRN berikutan tindakan wakil rakyat yang lompat parti.
“Bagi saya masalah utama ialah masalah integriti di kalangan pemimpin itu sendiri bukan orang lain.
“Kita juga kerap saksikan bagaimana wakil-wakil rakyat lompat parti demi periuk nasi mereka sendiri,” katanya.
Bahkan katanya lagi, PRN Sabah yang bakal diadakan pada 26 September ini juga disebabkan oleh tindakan ‘lompat parti’ sekali lagi.
“Itupun mereka masih tebal muka lagi bertanding dan melaungkan ‘demi rakyat Sabah’ dan pada masa yang sama memainkan sentimen anti-Semenanjung.
“Jelas di sini, akibat memilih pemimpin yang tiada integriti akhirnya rakyat yang rugi, dengan jutaan ringgi perlu dibelanjakan tatkala krisis ekonomi dan COVID-19 sedang berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan