SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada pilihan raya negeri Sabah (PRN) kali ini berdepan 4 lawan, termasuk anak buahnya sendiri.
Ini berbeza sama sekali dengan situasi semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertembungan 1 lawan 1 bagi merebut kerusi DUN berkenaan antara Shafie dengan sepupunya Nasir Sakaran, calon Barisan Nasional (BN).
Kali ini presiden Warisan itu berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Norazman Utoh Nain, yang juga anak buahnya, serta D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) Mohammad Ramzan Abdul Wahab (Usno) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).
Senarai calon yang bertanding diumumkan pegawai pengurus pilihan Raya Benedict Asmat pada kira-kira 11.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna ditutup.
Terdahulu, Shafie menyerahkan kertas pencalonannya pada 9.18 pagi.
Sementara itu, DUN Bugaya menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara penyandang Manis Muka Mohd Darah (Warisan Plus) dengan calon Usno, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta 2 calon Bebas.
Usno diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud Tampokong mewakili PN dan 2 calon Bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci, manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Jaujan Sambakong, yang juga naib presiden Warisan, berdepan saingan 3 penjuru dengan Alahuddin Mohd Sarah dari Usno dan Abdul Manan Indanan (BN) bagi mempertahan kerusi DUN Sulabayan.
Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).
Pengumuman calon bagi DUN Bugaya dibuat pegawai pengurus pilihan raya Linna Hassin, manakala bagi DUN Sulabayan oleh Johan Okasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan