Ketika
sesetengah orang berdebar-debar menanti hasil bantahan blok pembangkang
ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat
hari ini, ada satu hal yang jelas.
Tiada seorang pun ahli parlimen Warisan hadir.
Ia menjejaskan peluang pembangkang menolak rang undang-undang itu yang kini dibahas di peringkat jawatankuasa.
Hari ini seorang ahli parlimen Warisan memberitahu Malaysiakini,
ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan. Alasannya, mahu
menunjukkan rasa kecewa mereka kepada kepimpinan Anwar Ibrahim.
Ahli
Parlimen Labuan, Rozman Isli, berkata dia dan wakil lain Warisan berada
di Kuala Lumpur namun bersepakat untuk tidak hadir dalam sesi undian
berkenaan sebagai cara "menghantar isyarat" kepada Pakatan Harapan (PH).
"Kami dah penat dengan apa yang berlaku dalam blok pembangkang.
"Dan buat masa ini keputusan kami ialah, kami tidak akan menyertai sesi undi belah bahagi," katanya ketika dihubungi.
Walaupun diakui berlaku ketidakhadiran ahli parlimen di kedua-dua belah pihak, ketiadaan wakil Warisan memang ketara.
Bukan strategi tepat
Keadaan
itu membolehkan rang undang-undang untuk Jabatan Perdana Menteri dan
Kementerian Kewangan diluluskan selepas undi pihak kerajaan mengatasi
bantahan pembangkang.
Kata Rozman ahli parlimen Warisan akan terus bersikap begitu sehingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Menurut
ketua whip Warisan itu lagi mereka kecewa dengan "perbalahan"
berterusan yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH jatuh baru-baru ini.
Katanya
Warisan juga sangat kecewa dengan arahan saat-saat akhir Anwar semasa
Belanjawan 2021 diundi untuk diluluskan pada peringkat dasar pada Khamis
lalu.
"Tanpa membuat sikap begini, pembangkang seperti tidak sedar perlunya keputusan tegas dibuat.
"Seperti apa yang berlaku pada Khamis yang lalu, kami diberi pemberitahuan pada saat-saat terakhir. Ia mengecewakan,” katanya.
Menurut
Rozman lagi Warisan masih berada dalam blok pembangkang namun pada masa
sama parti itu mahu menyampaikan mesej kepada pemimpin yang berkenaan,
mereka tidak mahu didorong ke sana sini.
"Dan saya tidak fikir mereka melakukan strategi yang tepat (atau) gerakan yang tepat," katanya lagi.
Tidak
seperti dijangka Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan
Tengku Zafrul Abdul Aziz melepasi halangan pertamanya selepas cubaan
mencabar sokongan ke atas usul itu gagal di Dewan Rakyat pada 26 Nov
lalu.
Ramai pemimpin muda lagi
Ketika
orang ramai menjangkakan ia mungkin terkandas - dan membawa kepada
kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional - belanjawan tersebut diterima
secara majoriti apabila Anwar mengarahkan pembangkang agar tidak
menyokong usul agar ia diundi secara belah bahagi.
Selain penyokong PH, arahan tersebut juga mengecewakan sesetengah ahli parlimen PH.
Rozman
- yang meninggalkan Umno untuk menyertai Warisan pada Okt 2018 -
berkata partinya mahu memberi tekanan kepada PH agar memilih pemimpin
baru kerana ia memberi kesan kepada peluang mereka menghadapi pilihan
raya umum (PRU).
"Tanpa arah tuju yang jelas dan tanpa perpaduan yang ketara, saya tak fikir kita mampu bersaing dalam PRU akan datang.
"Maka
sebelum berdepan perang sebenar, kita perlu memberi sedikit isyarat,
(melakukan) sedikit langkah bagi memastikan semua pihak dalam
pembangkang mula sedar di sana perlu kepimpinan yang kuat dalam blok
pembangkang.
"Warisan dah bosan dengan perbalahan dalaman dan
beras pembangkang perlukan kepimpinan baru. Ada ramai pemimpin muda sama
ada dalam PKR atau parti lain," katanya.
Selain Rozman, ahli
parlimen Warisan yang tidak hadir hari ini ialah Mohd Shafie Apdal
(Semporna), Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Fakharudy
(Kota Belud), Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan),
Ahmad Hassan (Papar) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).
Turut
tiada dalam Dewan Rakyat ialah Chow Kon Yeow (Tanjung), Christina Liew
(Tawau), Masir Kujat (Sri Aman) dan Awang Husaini Sahari (Putatan).
Pada
masa sama lima wakil kerajaan juga tidak hadir iaitu Najib Razak
(Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua
Musang), Richard Riot Jaem (Serian) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).